Penjara minimum 30 tahun ganti hukuman mati

SANDAKAN: Individu disabitkan kesalahan yang membawa hukuman mati akan dikenakan penjara minimum 30 tahun bagi menggantikan hukuman berkenaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata, selain Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) yang mana pesalah dikenakan hukuman mati mandatori, terdapat 17 kesalahan jenayah lain yang membawa kepada hukuman sama.

Ia termasuk melancarkan serangan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan raja, keganasan, pembunuhan, cubaan untuk membunuh ketika menjalani penjara seumur hidup, pembunuhan mangsa ketika diculik, memiliki dan menggunakan senjata api serta merogol hingga menyebabkan kematian dan merogol kanak-kanak.

Vui Keong berkata, berdasarkan rekod Jabatan Penjara, sehingga 11 Oktober lalu terdapat 932 banduan disabitkan bersalah atau dijatuhkan hukuman mati mengikut Seksyen 39 (B) ADB.

Bagaimanapun, katanya, sejak 2014 hingga kini tiada pelaksanaan hukuman mati terhadap banduan mengikut seksyen itu dan banduan terbabit masih menunggu hukuman disebabkan oleh moratorium serta tiada waran pelaksanaan hukuman mati dikeluarkan kepada Jabatan Penjara.

“Namun demikian, pada 10 Oktober lalu saya umumkan bagi pihak kerajaan bahawa semua kesalahan membabitkan hukuman mati termasuk Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya akan dimansuhkan dan hukuman itu tidak patut dilaksanakan.

“Rang Undang-Undang pemansuhan ini akan dibentangkan di Parlimen selepas memorandum berkaitan diluluskan dalam Kabinet,” katanya pada program Community Combat – DAPS (CCD) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Politiknya, Martin Tommy.

Sehubungan itu, Vui Keong yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi, meminta Lembaga Pengampunan untuk menimbang menangguhkan hukuman mati ke atas banduan.

Katanya, berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Lembaga Pengampunan berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang dibicarakan oleh mahkamah tanpa menjejaskan mana-mana peruntukan undang-undang Persekutuan.

“Lembaga Pengampunan juga boleh mempertimbangkan untuk melepaskan banduan yang menunggu lebih 20 tahun bergantung kepada situasi,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, jumlah banduan yang berdepan dengan hukuman mati bagi kesalahan membabitkan Seksyen 39 (B) ADB ialah 1,267 orang.

Oleh Hazsyah Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my (14 oct 2018)

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *