PENIAGA, PENGUNJUNG PUAS HATI LOKASI BAHARU TAMU AHAD SABINDO

PENIAGA, PENGUNJUNG PUAS HATI LOKASI BAHARU TAMU AHAD SABINDO

Tamu Ahad Sabindo lebih memberi keselesaan kepada peniaga serta pengunjungnya. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Peniaga dan pengunjung menyambut baik inisiatif Majlis Perbandaran Tawau (MPT) memindahkan peniaga dari Tamu Takada Jalan Kuhara ke Tamu Ahad Sabindo, Jalan Habib Sheikh.

Walaupun sebelum ini banyak ura-ura mengatakan peniaga akan menjalankan demonstrasi secara aman bagi membantah perpindahan itu, namun ia tidak berlaku.

Malah, ramai peniaga bersetuju dengan perpindahan tersebut kerana kawasan tersebut memberikan lebih keselesaan kepada mereka.

Peniaga, Badar Hayani Mohd Baraq, 54, berkata sebelum ini dia turut membantah berhubung perpindahan itu berikutan sudah 25 tahun menjalankan perniagaan di tapak Tamu Takada.

Badar Hayani bersama isterinya menjalankan perniagaan menjual sayur-sayuran. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Kami sudah selesa di tempat lama. Kami enggan dipindahkan. Namun setelah mengetahui lokasi di sini (Tamu Ahad Sabindo) lebih selesa, saya dan rakan-rakan niaga lain cukup bersetuju dengan perpindahan ini.

“Ini hari pertama kami beroperasi di tapak baharu. Keadaannya lebih baik berbanding tapak dimana kawasannya lebih luas berbanding lokasi lama,” katanya kepada Sabah News Today di Tamu Ahad Sabindo, di sini, hari ini.

Badar yang berniaga dengan menjual sayur-sayuran memberitahu dia gembira kerana pelanggan tetapnya dapat mencari lokasi tempat dia dan isterinya berniaga.

Ini kerana kawasan berkenaan lebih tersusun, luas dan mudah untuk pelanggan mencari sebarang keperluan mereka termasuk mencari peniaga tetap mereka.

“Sebelum ini saya risau jika kami kehilangan pelanggan ternyata ia sama sekali tidak benar. Saya tetap bertemu dengan pelanggan lama dan lebih menarik lagi saya dapat bertemu dengan pelanggan baharu di sini.

“Kawasan parkir kenderaan juga teratur dan difahamkan lebih 1,000 parkir tersedia,” katanya.

Peniaga makanan, Abdul Nassir. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Sementara itu, peniaga makanan Abdul Nassir Salleh, 50, turut menzahirkan rasa syukur dengan perpindahan lokasi itu.

Pendapatannya pada hari pertama berniaga di lokasi baharu sangat memberangsangkan.

“Kedua-dua lokasi juga punya keistimewaan sendiri dan memberi rezeki kepada kami tetapi lokasi di sini lebih strategik dan pelanggan ramai berkunjung ke gerai kami.

“Saya berharap di lokasi baharu ini, kita dapat menjaga kebersihan. Kita mahukan keselesaan, kemudahan yang baik, kebersihan dan kemajuan ke arah yang lebih baik,” katanya.

Khadijah Kassim. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Bagi seorang pengunjung, Khadijah Kassim@Jali, 75, dia kini lebih mudah untuk memilih barang-barang keperluan di lokasi baharu memandangkan kawasannya lebih luas.

“Saya sudah boleh memilih barangan dengan mudah dan berasa selesa di tempat baharu ini kerana tidak perlu berasak-asak melalui lorong yang kecil.

“Harap kita dapat menjaga kebersihan bersama-sama. Jangan buang sampah merata tempat. Ada tong sampah disediakan, jadi gunakan dengan sebaiknya,” tambahnya. – SabahNewsToday

Komen