Pengurusan kes Musa Aman pada 18 Oktober

Pengurusan kes Musa Aman pada 18 Oktober

TAN Sri Musa Aman. – Foto Eizairi Shamsudin

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menetapkan 18 Oktober depan untuk pengurusan kes Tan Sri Musa Aman yang menghadapi 16 pertuduhan pengubahan wang haram dan 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Datin Nurshuhaida Zainal Azahar, kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Catherine Nicholas.

Musa, 68, diwakili peguam Joshua Tay.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berdepan 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di Sabah membabitkan wang berjumlah AS$63.3 juta, dan 16 pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram bernilai lebih AS$37.8 juta serta S$2.5 juta.

Musa didakwa sebagai seorang ejen Kerajaan Sabah, iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri, suapan daripada lapan pemilik konsesi balak yang berjumlah AS$63.3 juta.

Mengikut pertuduhan, wang suapan itu sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal tertuduh, iaitu memberi kontrak konsesi balak Sabah kepada 16 syarikat.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di lapan bank serta institusi kewangan di Hong Kong, China dan Singapura antara 20 Disember 2004 hingga 6 November 2008.

Semua pertuduhan terhadap Musa dibuat mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Musa juga menghadapi 16 pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram bernilai lebih AS$37.8 juta dan S$2.5 juta.

Mengikut pertuduhan pertama, Musa didakwa membabitkan diri secara tidak langsung dalam transaksi pengubahan wang haram dengan mengarahkan Richard Christopher Barnes, 67, untuk membuka satu akaun di UBS AG atas nama lelaki itu bagi tujuan menerima hasil aktiviti haram.

Tertuduh juga berdepan pertuduhan alternatif, iaitu menyembunyikan pemilikan hasil aktiviti haram berkenaan.

Bagi pertuduhan kedua hingga sembilan dan 11 hingga 15, Musa didakwa secara tidak langsung membabitkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menerima AS$37,845,491.60 daripada beberapa individu melalui akaun atas nama Barnes yang jumlah itu adalah daripada hasil aktiviti haram tertuduh.

Bagi pertuduhan ke-10 pula, Musa didakwa menerima S$2.5 juta atas sebab sama. -Bharian

Komen