Penduduk Lahad Datu derma lebih RM50,000 untuk mangsa Palu

Penduduk Lahad Datu derma lebih RM50,000 untuk mangsa Palu

LAHAD DATU, 15 Okt (Bernama) — Inisiatif Persatuan Komuniti Bugis Sabah (PKBS) menggerakkan Tabung Bantuan Bencana Gempa Bumi dan Tsunami Sulawesi di sekitar bandar di sini berjaya mengumpul derma daripada penduduk berjumlah RM52,687.

Mohammad Yunus Abu dari kepimpinan PKBS berkata kejayaan mengutip jumlah derma itu hasil kerjasama 50 anggota PKBS di Lahad Datu.

“Kita wujudkan tabung bantuan kilat sejak 5 Okt lalu dan tumpuan kutipan disasarkan di sekitar kawasan pasar rakyat, pasar raya, kawasan perkampungan dan beberapa masjid serta surau sekitar Lahad Datu,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mohammad Yunus berkata kutipan tabung tersebut telah diserahkan kepada Pertubuhan Generasi Pemikir Teras Harapan Malaysia (Teras) hari ini untuk disalurkan kepada penduduk di Sulawesi.

Pada 28 September lalu, gempa bumi bermagnitud 7.5 disusuli tsunami telah mengakibatkan kemusnahan besar di Palu dan mengorbankan ribuan nyawa dan puluhan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal.

— BERNAMA

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *