Pemuda dipenjara 12 bulan kerana merempit

Pemuda dipenjara 12 bulan kerana merempit

Choong Chee Wei (baju merah) dipenjara 12 bulan dan denda RM5,000.00 oleh Mahkamah Majistret Tawau, hari ini kerana terbabit lumba haram. Nstp / Abdul Rahemang Taiming.

TAWAU: Akibat menyertai lumba haram dan menunggang motosikal secara merbahaya, seorang penganggur dihukum penjara 12 bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau yang bertindak sebagai Majistret, Amir Shah Amir Hassan, menjatuhkan hukuman itu ke atas Choong Chee Wei, 20, selepas tertuduh mengaku salah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya.

Dia turut berdepan hukuman penjara enam bulan, sekiranya gagal membayar denda itu, selain mahkamah turut memerintahkan tertuduh hilang kelayakan mendapatkan lesen selama dua tahun dari tarikh sabitan.

Berdasarkan pertuduhan, Chee Wei didakwa menunggang motosikal secara berbahaya, yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain di Jalan Chong Thien Vun di sini, jam 12.30 tengah malam pada Ahad lalu.

Dia yang hadir di mahkamah memakai baju-T merah, didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan ketika cuba melarikan diri selepas terlibat dalam kegiatan lumba haram di One Arena, Jalan Chong Thien Vun, Tawau.

Ketika dikejar polis, tertuduh juga didapati menunggang secara melawan arus, selain melanggar lampu isyarat merah di Batu 3 Jalan Apas sebelum motosikalnya mengalami kerosakan brek.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Asisten Superintendan Joanne Lee, dalam penghujahannya menegaskan kesalahan tertuduh adalah serius dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan kepentingan awam.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela, turut mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) kerana tidak memiliki lesen memandu dan dihukum mengikut Seksyen 26(2) akta yang sama.

Bagi kesalahan itu mahkamah mengenakan denda RM400 dan penjara 14 hari (jika gagal bayar denda).

Sumber https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/02/659576/pemuda-dipenjara-12-bulan-kerana-merempit

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *