PEMILU: 72,811 rakyat Indonesia di pantai timur Sabah mengundi awal

PEMILU: 72,811 rakyat Indonesia di pantai timur Sabah mengundi awal

TAWAU: Seramai 72,811 rakyat Indonesia di pantai timur Sabah yang berdaftar sebagai pengundi luar negara akan menunaikan tanggungjawab mengundi awal pada 14 April ini sempena Pemilihan Umum (PEMILU) negara itu.

Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia (KRI) di Tawau, Sulistijo Djati Ismojo berkata proses pengundian awal akan diadakan di Tawau, Kalabakan, Sandakan, Semporna, Kunak dan Lahad Datu.

“Bagi melicinkan proses pengundian itu, seramai 951 petugas yang dilantik dan menerima bimbingan teknik petugas Kelompok Penyelenggara Pemungutan Suara Luar Negeri (KPPSLN) akan bertugas pada hari pengundian dari jam 8 pagi sehingga 6 petang.

“Seramai 252 petugas ditempatkan di Tawau, Semporna (29), Kunak (64), Lahad Datu (437) serta Kalabakan (32) dan bakinya bertugas di Sandakan,” katanya kepada Bernama.

Di pantai timur Sabah, seramai 71,990 warganegara Indonesia (WNI) merupakan pengundi Daftar Pemilih Tetap (DPT) manakala 821 WNI (pengundi pindah randah) adalah pengundi Kotak Suara Keliling (KSK).

Di Indonesia, rakyat republik itu akan mengundi pada 17 April selepas dua hari proses pengundian awal dilaksanakan.

Pemilu pada tahun ini melibatkan pemilihan Presiden serta Dewan Perwakilan Rakyat.

Sementara itu, Djati berkata WNI perlu menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat untuk membuat pilihan kepimpinan terbaik bagi lima tahun akan datang dan Pemilu itu sangat penting demi kemajuan bangsa dan negara Indonesia.

Menurut Djati, warga Indonesia di pantai timur Sabah yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi Hotline PPLN Tawau di talian 013-4182341 dan 010-9721223 atau menerusi akaun Facebook PPLN Tawau. — Bernama

Komen