PEMILIHAN TIMBALAN PRESIDEN PKR CABANG TAWAU BATAL SEKALI LAGI

PEMILIHAN TIMBALAN PRESIDEN PKR CABANG TAWAU BATAL SEKALI LAGI

Sebahagian ahli PKR di Tawau yang menunggu giliran untuk membuang undi dalam proses pemilihan yang diadakan di Kompleks Sukan Tawau. – Gambar SNT / Ehsan PKR Sabah

TAWAU: Pemilihan PKR Cabang Tawau terus dipalit kontroversi apabila keputusan pemilihan bagi jawatan Timbalan Presiden mendapat bantahan daripada penyokong calon-calon yang bertanding kerana didakwa terdapat unsur penipuan dalam pengundian.

Difahamkan, kem calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli telah membuat bantahan kerana tidak berpuas hati dengan sistem pengundian yang dijalankan di situ seolah-olah berpihak kepada pencabarnya, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam pemeriksaan oleh para petugas di situ, didapati pengundi kem Azmin telah menggunakan tablet yang membolehkan mereka membuang undi lebih daripada sekali yang sepatutnya dibenarkan dalam pemilihan tersebut.

Suasana proses pemilihan PKR Cabang Tawau yang berakhir kira-kira pukul 4 petang tadi. – Gambar SNT / Ehsan PKR Sabah

Mengesahkan perkara itu, Ketua Koordinator Pemilihan PKR Sabah, Rosli Masaliku berkata ekoran daripada insiden itu, para penyokong Rafizi telah membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada pukul 7.44 malam tadi.

“Kita telah menerima aduan berkenaan dan setelah para petugas di situ memeriksa tablet itu, kita dapati ia agak mencurigakan kerana mereka telah mengundi lebih daripada sekali menggunakan tablet yang sama.

“Kita hairan kerana ia tidak sepatutnya berlaku dan saya rasa pihak Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) telah dimaklumkan mengenai perkara ini,” katanya kepada Sabah News Today.

Sebahagian ahli PKR di Tawau yang menunggu giliran untuk membuang undi dalam proses pemilihan yang diadakan di Kompleks Sukan Tawau. – Gambar SNT / Ehsan PKR Sabah

Rosli berkata, sebanyak 35 peratus daripada ahli PKR Cabang Tawau yang layak keluar membuang undi yang dijalankan bermula pada pukul 9.30 pagi dan tamat pada pukul 4 petang tadi.

Pemilihan diadakan semula bagi PKR cabang Tawau selepas keputusan pemilihan pada awal bulan ini dibatalkan.

Hari ini hanya pemilihan bagi jawatan timbalan presiden sahaja yang mengalami masalah manakala bagi jawatan-jawatan lain hanya menunggu pengumuman keputusan rasmi.

Rafizi menang di Pensiangan

Dalam pada itu, katanya, keputusan di Pensiangan menyaksikan Rafizi menang besar dengan jumlah undian sebanyak 2,388, sekaligus mengatasi Azmin yang hanya meraih 262 undi. – SabahNewsToday

Komen