Pembinaan Markas 13 Briged di Lahad Datu dijangka dimulakan tahun depan

Pembinaan Markas 13 Briged di Lahad Datu dijangka dimulakan tahun depan

KOTA KINABALU, 1 Nov – Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata pembinaan Markas 13 Briged di Lahad Datu dijangka dimulakan pada tahun hadapan.

Katanya perbincangan mengenai lokasi markas berkenaan antara ATM dan kerajaan negeri Sabah kini pada peringkat akhir dan sekiranya semuanya berjalan lancar, pelancaran pembinaan kemudahan itu akan dilakukan pada tahun hadapan.

“Saya belum boleh menyebutkan kos pembinaan markas itu kerana kami kena lihat dahulu tempat (pembinaan) markas itu dan sebagainya. Mungkin hujung tahun ini kami boleh muktamadkan (mengenai kos) itu.

“Selalunya (pembinaan markas tentera seperti itu) akan mengambil masa dua tahun,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Mengenai kemudahan anggota tentera yang bertugas di pulau-pulau khususnya di kawasan pantai timur Sabah Zulkifli berkata berdasarkan lawatannya ke kawasan berkenaan, kemudahan itu masih bersesuaian untuk anggota keselamatan menjalankan tugas.

Bagaimananapun katanya, sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) beliau dapati memang banyak perkara yang boleh ditambah baik bukan sahaja dari segi keselesaan anggota tetapi juga memastikan kemudahan berkenaan dapat beroperasi dengan baik.

“Kami perlu mengakui bahawa nak menambahbaik (kemudahan) memerlukan peruntukan yang tinggi. Jadi, memahami keadaan ekonomi negara, kami mesti sesuaikan dengan keadaan tersebut sebagai sebuah organisasi yang memahami akan peri pentingnya nilai wang dalam apa sahaja yang akan dilaksanakan,” katanya.

Bagaimanapun, Zulkifli berkata keanggotaan pasukan keselamatan di pantai timur Sabah setakat ini adalah mencukupi untuk mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.

“Saya yakin keadaan keselamatan kita terkawal. Anggota kita bersemangat menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

Selain mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Zulkifli turut melakukan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertuan Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri.

— BERNAMA

Komen