Pemberian Khas Sabah, Sarawak naik 100 peratus

Pemberian Khas Sabah, Sarawak naik 100 peratus

KUALA LUMPUR: Warga Sabah dan Sarawak mendapat khabar gembira apabila Kerajaan Pusat memutuskan untuk menaikkan 100 peratus kadar Pemberian Khas, yang tidak pernah disemak semula dalam tempoh 50 tahun.

Pemberian khas itu termaktub dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dan ia sejajar hasrat Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan geran kewangan kepada Sabah dan Sarawak seperti diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Pemberian khas tahunan iaitu sebanyak RM26.7 juta untuk Sabah dan RM16 juta untuk Sarawak belum pernah disemak sejak 1969 dan bermula tahun depan, kerajaan memberi jaminan menggandakan kadar itu kepada RM53.4 juta untuk Sabah dan RM32 juta untuk Sarawak.

Bagi menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat kedua-dua negeri, kerajaan akan menggandakan kadar pemberian khas hingga RM106.8 juta untuk Sabah dan RM64 juta untuk Sarawak dalam tempoh lima tahun akan datang.

Kerajaan juga akan menaik taraf landasan kereta api di kawasan Gorge Line antara Stesen Halogilat, Beaufort ke Stesen Tenom di Sabah dengan kos sebanyak RM50 juta yang meningkatkan keselamatan perjalanan penduduk tempatan di samping menjadi tarikan pelancong.

Bagi memastikan penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak mendapat barangan keperluan asas seperti gas petroleum cecair (LPG) dan petrol pada harga berpatutan, kerajaan memperuntukkan RM170 juta untuk membiayai kos pengangkutan dan pengedaran barang asas ke luar bandar.

Dalam pada itu, sebanyak RM55 juta diperuntukkan untuk menyokong infrastruktur Taman Industri Samalaju di Sarawak menerusi Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dan RM20 juta untuk industri agro di Sabah melalui Pihak Berkuasa Pembangunan dan Pelaburan Sabah (SEDIA).

Kerajaan akan melaksanakan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) sepanjang tempoh lima tahun yang akan menyediakan liputan berkelajuan tinggi yang komprehensif dan jaringan digital yang berkualiti di seluruh negara khususnya pedalaman Sabah dan Sarawak.

Kerajaan akan meningkatkan kesalinghubungan di kawasan pedalaman khususnya di kedua-dua negeri bagi memastikan tiada pihak yang terpinggir dalam agenda digital negara.

Komen