Pemandu mabuk akan dijel 20 tahun, denda RM100,000: Guan Eng

Pemandu mabuk akan dijel 20 tahun, denda RM100,000: Guan Eng

BUTTERWORTH – Kerajaan sedang merangka untuk meminda hukuman lebih berat terhadap pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia termasuk menaikkan denda daripada tidak lebih RM20,000 sehingga RM100,000 dan penjara 20 tahun berbanding 10 tahun ketika ini.

Menurutnya, hukuman yang lebih berat perlu diteliti oleh kerajaan agar kesalahan itu tidak dipandang ringan oleh pengguna jalan raya, selain ia melibatkan keselamatan dan nyawa orang lain.

“Kerajaan sedang merangka untuk meminda hukuman bagi Seksyen 41 (Akta Pengangkutan Jalan 1987) ini bagi mereka yang telah menyebabkan kemalangan sehingga menyebabkan kematian apabila memandu dalam keadaan mabuk,” katanya kepada wartawan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi lima beradik yang kehilangan bapa mereka, Khairizul Mohamad Noor, 39, selepas dilanggar pemandu kereta dipercayai mabuk dalam kejadian Ahad lepas di kediaman keluarga itu di Jalan Hj Mohd Saad, dekat Bagan Jermal.

Akibat kejadian kira-kira 5 pagi 9 Februari itu, Khairizul Mohamad disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan manakala isterinya, Zuriana Hasan, 35, yang cedera parah dan kini dirawat di Hospital Seberang Jaya dalam keadaan koma.

Dalam lawatan berkenaan, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada lima orang anak pasangan itu yang berusia 16 tahun sehingga setahun sembilan bulan.

“Sebelum ini, kerajaan negeri, agensi dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, termasuk pejabat Parlimen Bagan menyampaikan sumbangan kepada keluarga ini dan saya ucapkan takziah kepada keluarga ini dan harap ibu kanak-kanak ini akan cepat sedar dan sembuh.

“Kita akan terus berikan bantuan dan perhatian kepada keluarga ini,” katanya.
Beliau berharap siasatan mengenai kejadian malang itu dapat diselesaikan segera oleh polis dan pemandu mabuk yang terlibat akan dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan hukuman yang setimpal.

Sumber’; sinarharian

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *