PEMANDU GRAB DITAHAN KERANA DISYAKI CABUL PENUMPANG WANITA

PEMANDU GRAB DITAHAN KERANA DISYAKI CABUL PENUMPANG WANITA

PENAMPANG: Seorang pemandu grab ditahan selepas dipercayai mencabul seorang wanita dalam kejadian di hadapan sebuah hotel di Putatan, kelmarin.

Suspek lelaki berusia 40-an ditahan dalam tempoh 24 jam oleh polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

DSP Mohd Haris Ibrahim. Gambar Fail SNT

Penahanan itu dibuat selepas mangsa berusia 23 tahun membuat laporan polis pada 10.05 malam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata siasatan mendapati mangsa menempah perkhidmatan grab untuk pulang ke rumahnya di Putatan, jam 4.48 petang.

“Mangsa menaiki kereta jenis Proton Saga dan pemandu grab (suspek) minta mangsa menunjukkan jalan ke rumahnya.

“Mangsa menunjukkan jalan masuk ke rumahnya namun suspek terus memandu dengan laju. Suspek mengambil jalan lain dan mengatakan mahu melihat kawasan sekitar Putatan kerana jarang ke daerah ini,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Mohd Haris berkata mangsa tidak mengesyaki apa-apa dan mengikut kemahuan suspek tanpa membantah.

“Tidak lama selepas itu mangsa tidak menyangka suspek memberhentikan keretanya di hadapan sebuah hotel di Putatan lalu mengajak mangsa masuk ke dalam untuk berehat.

“Suspek menyentuh di bahagian tangan dan betis tanpa kerelaan mangsa. Mangsa kemudian berjaya melarikan diri dan membuat laporan polis,” katanya.

Menurutnya, suspek berjaya ditahan selepas menyerah diri dalam tempoh 24 jam selepas kejadian itu.

“Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya. -SabahNewsToday

Komen