PEMAIN SABAH TUNTUT LUNASKAN KELEWATAN BAYARAN GAJI

PEMAIN SABAH TUNTUT LUNASKAN KELEWATAN BAYARAN GAJI

KOTA KINABALU: Kesal kerana gaji selama lima bulan belum dilunaskan oleh pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) menyebabkan pemain dikatakan hampir memboikot sesi latihan di Stadium Likas, petang tadi.

Begitupun, sumber SabahNewsToday memberitahu bahawa dakwaan pemain Sabah mahu memboikot latihan adalah tidak benar sama sekali.

“Kami tidak boikot latihan.. sebaliknya kami diberikan cuti selama dua hari oleh jurulatih. Saya fikir jurulatih (Jelius Ating) pun faham masalah yang dihadapi pemain Sabah berikutan masalah gaji ini.

“Keperluan gaji penting kerana kami perlu isi minyak kenderaan ke sesi latihan setiap hari.. apatahlagi bagi yang perlu menyara keluarga sangat terdesak dan perlukan gaji,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut sumber itu lagi kali terakhir mereka menerima bayaran tersebut pada bulan Ogos lalu.

Oleh itu katanya para pemain mengharapkan campurtangan kerajaan negeri untuk membantu menyelesaikan masalah yang membelenggu pemain ekoran kelewatan pembayaran gaji itu.

Lebih memeritkan katanya apabila beberapa pemain mengadu elektrik di kediaman mereka terpaksa dipotong kerana gagal melunaskan bil yang tertangguh selama beberapa bulan.

“Kalau pemain ada kerja tetap, mungkin tidak begitu terbeban, tapi mereka bermain sepenuh masa. Kami berharap agar CM (Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) dapat membantu,” katanya.

Baru-baru ini Alijus Sipil telah meletak jawatan sebagai presiden Safa dan nampaknya kemelut terus membelenggu persatuan ini.- SabahNewsToday

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Komen