PELANCONG CHINA LEMAS KETIKA SNORKELING

PELANCONG CHINA LEMAS KETIKA SNORKELING

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 untuk dibedah siasat. Gambar SNT/Ehsan IPD Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Seorang pelancong wanita warga China lemas ketika melakukan aktiviti snorkeling bersama dua rakannya di perairan Pulau Mengalum, dekat sini, tengah hari kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, Chen Shao Ling, 26, dipercayai tersedak air akibat dipukul ombak yang kuat ketika itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata seorang pemandu pelancong yang berada dilokasi kejadian segera menarik mangsa ke pantai dan memberi bantuan pernafasan (CPR).

“Tindakan pantas pemandu pelancong yang dibantu oleh pemandu bot itu bagaimanapun gagal selepas tiada sebarang tindak balas dari mangsa dan segera membawa mangsa ke jeti pelepasan mereka di salah sebuah hotel terkemuka dan menghubungi talian kecemasan.

“Setibanya dijeti, doktor perubatan memeriksa keadaan mangsa dan kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia jam 1.03 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Habibi, siasatan awal mendapati mangsa bersama dua lagi rakan yang juga warganegara China tiba di negeri ini pada 5 Januari lalu dan menginap di sebuah hotel.

“Sekitar jam 8.30 pagi kelmarin, mangsa bersama dua rakannya menaiki bot ke Pulau Mengalum untuk melakukan aktiviti snorkeling. Difahamkan, mangsa dan beberapa pelancong lain sudah diberi taklimat keselamatan sebelum memulakan aktiviti tersebut.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 untuk bedah siasat,” katanya.

Tambah Habibi, pemeriksaan lanjut mendapati tiada unsur jenayah berlaku pada mangsa dan siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -SabahNewsToday

Komen