Pelajar dakwa dipukul guru

Pelajar dakwa dipukul guru

KETUA Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor. – NSTP/Hazsyah Abdul Rahman

LAHAD DATU: Seorang pelajar tingkatan satu mendakwa dipukul di punggung menggunakan batang penyedok sampah di sebuah sekolah di daerah ini, Rabu lalu.

Pelajar lelaki itu mendakwa dipukul sebanyak 22 kali sehingga menyebabkan lebam dan kecederaan tisu lembut di bahagian punggung.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata pihaknya menerima laporan daripada pengadu berhubung kejadian itu pada jam 9.56 pagi semalam.

“Kejadian berlaku jam 11.30 pagi dalam kelas dan pengadu mendakwa dipukul guru kelasnya yang berusia 38 tahun menggunakan sebatang plastik penyedok sampah di bahagian punggung sebanyak 22 kali di hadapan pelajar lain.

“Kejadian dikatakan berpunca daripada tindakan pelajar itu yang tidak hadir ke sekolah pada 22 April lalu tanpa kebenaran dan makluman kepada guru kelas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati ketika kejadian guru lelaki itu terlupa membawa rotan ke dalam kelas.

“Sebagai alternatif untuk melaksanakan denda, suspek menggunakan batang plastik penyedok sampah sebagai rotan.

“Akibat pukulan itu, pengadu lebam di bahagian punggung. Pengadu diarahkan mendapatkan rawatan awal dan pemeriksaan mendapati bahagian punggungnya lebam dan mengalami kecederaan tisu lembut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati pengadu tidak hadir ke sekolah pada 22 April lalu kerana mengikut bapanya ke Tawau bagi menyaksikan kejohanan taekwondo.

“Namun pengadu tidak membuat sebarang makluman kepada pihak sekolah berhubung ketidakhadiran ke sekolah pada hari itu,” katanya.

Mansor berkata, polis merampas sebatang plastik penyedok sampah untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. –beritaharian

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *