PEKERJA LADANG HILANG KEPALA, TANGAN KANAN DISAHKAN MANGSA SERANGAN BUAYA

PEKERJA LADANG HILANG KEPALA, TANGAN KANAN DISAHKAN MANGSA SERANGAN BUAYA

LAHAD DATU; 17 MEI 2019 (Jumaat) – Mayat pekerja ladang yang ditemui dalam keadaan tragis dengan tidak berkepala dan hilang tangan kanan di sebuah Kolam Tadahan Air di Felda Sahabat 41 Lahad Datu, disahkan mati akibat serangan buaya.

Identiti lelaki yang ditemui oleh sekumpulan pencari pada pukul 6.15 pagi kira-kira 50 meter dari kolam berkenaan itu disahkan sebagai Stephen Tolok, 37 tahun.

Difahamkan, pada pukul 5 petang kelmarin, mangsa keluar bersama seorang rakannya untuk menjala ikan di Kolam terbabit sebelum dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor dalam kenyataan berkata, semasa kejadian, mangsa sempat meminta tolong selepas dipercayai digigit dibahagian kaki kanan dan terus diheret ke dasar kolam tadahan terbabit.

Katanya, rakan mangsa yang melihat kejadian tersebut terus bergegas balik ke rumah kongsi untuk mendapatkan pertolongan pengadu dan penolong pengurus ladang, serta memaklumkan mengenai kejadian itu kepada pihak polis bagi mengesan mangsa.

Pada hari berikutnya, mayat mangsa ditemui di kawasan kolam berkenaan dan berdasarkan kehilangan beberapa anggota badan dan kesan gigitan pada kaki dan paha, dipercayai mangsa dibaham buaya dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Menurut ACP Nasri, mangsa telah dikenalpasti oleh isteri dan rakan mangsa melalui pakaian iaitu seluar yang dipakai oleh mangsa.

#BESTAWAUfm

Komen