PASUKAN POLIS MARIN SELAMATKAN WARGA INDONESIA DARI OMBAK BESAR

PASUKAN POLIS MARIN SELAMATKAN WARGA INDONESIA DARI OMBAK BESAR

SEMPORNA 10 Sept -Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah (PPM W4) telah menyelamatkan tiga warga Indonesia yang telah hanyut bersama kapal mereka di peraiaran Pulau Sipadan, Semporna di sini hari ini.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah, ACP Hj. Mohamad Pajeri Ali berkata, pihaknya telah menerima maklumat pada jam 7.30 pagi daripada Jabatan Taman-Taman Sabah serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mendapati sebuah kapal yang mencurigakan pada kedudukan lebih kurang satu batu nautika dari Pulau berkenaan.

Menurutnya lagi, Hasil siasatan awal yang dijalankan PPM W4 mendapati ketiga-tiga lelaki ini merupakan warganegara Indonesia berasal dari Tarakan yang telah hanyut ke perairan Malaysia selepas kapal mereka jenis _Troll_ iaitu kapal menarik udang semasa dalam pelayaran ke Sungai Nyamuk Indonesia. Selain itu, kapal yang dinaiki mereka telah rosak pada bahagian _Injection Pump_ enjin di kawasan Muara Nunukan. Semasa cuba membaiki enjin tersebut, ombak besar telah menghanyutkan kapal mereka hingga ke kawasan perairan Pulau Sipadan.

Dalam masa yang sama pihak PPM W4 telah membuat pemeriksaan pada kapal berkenaan dan tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang. Dipercayai kapal ini telah mengalami kerosakan dan dihanyutkan daripada perairan sempadan Malaysia Indonesia sehingga ke Pulau Sipadan akibat mengalami kerosakan pada enjin.

Menurutnya lagi, ketiga-tiga suspek telah ditahan bersama bot di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Semporna untuk menjalani siasatan lanjut. Kejadian ini juga turut telah dilaporkan kepada Konsul Republik Indonesia.

Komen