PASUKAN GERAKAN AM RAMPAS 7,840 BUNGKUS ROKOK DALAM PROTON PERDANA

PASUKAN GERAKAN AM RAMPAS 7,840 BUNGKUS ROKOK DALAM PROTON PERDANA

TAWAU: Pasukan Gerakan Am (PGA) daerah ini berjaya merampas 7,840 bungkus rokok pelbagai jenama yang disembunyikan di dalam kenderaan jenis Proton Perdana, di Jalan Batu 2, Kampung Murut Kalabakan, tadi.

Pegawai Pemerintah Batalion 14, Superintendan Mustapha Othman berkata dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu, pihaknya yang sedang menjalankan tugas pemantauan melihat sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di kawasan terbabit.

Semua rokok dan kenderaan jenis Proton Perdana dirampas dan disiasat dibawah Seksyen 135(1)(E) Akta Kastam 1967. Gambar SNT / Ihsan PGA Tawau

“Suspek kemudian bertindak memecut laju kenderaannya sebelum Pasukan Strike Force mengekori dari belakang.

“Selepas beberapa minit aksi kejar mengejar berlaku, kita menemui kenderaan berkenaan diparkir di tepi jalan. Pemeriksaan mendapati, suspek berjaya meloloskan diri.

Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan terbabit, kita menemui 27 bungkus plastik hitam mengandungi 1,740 bungkus rokok jenama Astro, 1,200 bungkus rokok jenama Menara Dunia, 980 bungkus rokok jenama Premiro, 790 bungkus rokok jenama Fit Mild Menthol, 1,570 bungkus rokok jenama Surya Menthol Slim, dan 1,560 bungkus rokok jenama Djarum Black,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan terbabit dipenuhi muatan rokok seludup pelbagai jenama. Gambar SNT / Ihsan PGA Tawau

Beliau berkata pihaknya turut merampas 20 bungkus tembakau salak.

“Semua barangan bernilai RM50,501.20 dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kita masih giat mengesan suspek dan kes ini disiasat dibawah Seksyen 135(1) (E) Akta Kastam 1967,” katanya. – SabahNewsToday

Komen