Pasangan terima ganjaran, wang tunai jika lahirkan ramai anak di Jepun

Pasangan terima ganjaran, wang tunai jika lahirkan ramai anak di Jepun

NAGI, Jepun – Pihak berkuasa sebuah bandar di daerah Katsuta, wilayah Okayama menawarkan sejumlah ganjaran termasuk wang tunai hampir AS$5,900 (RM24,400) kepada pasangan berkahwin di situ untuk melahirkan lebih ramai anak.

Tawaran itu dilakukan bagi mengatasi masalah kadar kelahiran rendah di Jepun selain berdepan peningkatan jumlah penduduk yang semakin tua. Nagi terletak kira-kira 177 kilometer dari Hiroshima.

Setiap keluarga yang berpindah ke bandar Nagi akan ditawarkan insentif dan jumlah pemberian itu akan meningkat bagi setiap kelahiran dalam sesebuah keluarga.

Selain wang tunai, keluarga turut menikmati beberapa faedah lain seperti subsidi perumahan, elaun persekolahan dan pengurangan yuran pusat penjagaan kanak-kanak.

Menurut laporan, jumlah penduduk di Jepun menyusut secara berturut-turut sejak sembilan tahun lalu sehingga mendorong kerajaan Jepun menimbang cadangan untuk meminda semula undang-undang ketat bagi sekatan ke atas migrasi.

Pada Januari 2018, Jepun merekodkan seramai 2.5 juta penduduk asing iaitu peningkatan 7.5 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Jumlah itu mewakili kira-kira 2 peratus daripada keseluruhan penduduk di Jepun.

Perdana Menteri, Shinzo Abe juga bercadang melonggarkan syarat-syarat untuk membolehkan pekerja asing berkhidmat lebih lama di Jepun sekali gus mengatasi masalah kekurangan tenaga manusia di situ. – Agensi

sumber : KOSMO ONLINE

Komen