Panik jatuh dalam laut

Panik jatuh dalam laut

KEADAAN rumah roboh secara tiba-tiba dalam air di Kampung Sim-Sim, Sandakan. FOTO Hazsyah Abdul Rahman

EMPAT beradik termasuk termasuk bayi perempuan berusia setahun terselamat selepas terjatuh ke dalam laut apabila rumah atas air didiami mereka di Jambatan Sembilan, Kampung Sim-Sim, di Sandakan, roboh petang semalam.

Dalam kejadian 5.35 petang, Putri Ramadania Balqis Mohammad Ridzuan, setahun, bersama kakaknya, Putri Intan Sarafina, 4, serta dua abang mereka, Mohd Fazil, 6, dan Zaidi, 7, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan, Putri Intan Sarafina dan Mohd Fazil sempat berpaut pada kayu beranda rumah di dalam air, manakala Putri Ramadania Balqis dan Zaidi sempat didakap oleh bapa saudara mereka, Anuar Jumalah, 23, sebelum ketiga-tiganya turut terjatuh ke laut.

Anuar berkata, ketika kejadian dia mencuci pinggan di dapur sebelum rumah sewa itu yang bersambung dengan sebuah rumah lama tidak berpenghuni tiba-tiba roboh.

“Saya segera mendukung Putri Ramadania Balqis dan menyelamatkan Zaidi yang ketika itu menonton televisyen, namun kami jatuh bersama rumah ke dalam air. Saya kemudian membawa mereka keluar, manakala orang ramai menyelamatkan dua lagi anak saudara untuk naik ke atas jambatan,” katanya ketika ditemui NSTP.

Ibu empat beradik itu, Siti Saliza Makbirul, 29, berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah dan terkejut apabila pulang dari kerja mendapati rumah mereka roboh.

“Saya bersyukur kerana semua anak selamat, namun tiada satu pun barang berjaya diselamatkan termasuk pakaian. Kini kami tinggal sehelai sepinggang dan syukur ada penduduk yang membantu mengambil beg berisi dokumen penting kami sekeluarga,” katanya.

Siti Saliza berkata, mereka tidak tahu hendak tinggal di mana selepas ini dan mengharapkan ada pihak yang berkaitan sudi membantu meringankan beban.

Sementara itu, Ketua Zon Enam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Anddre Andrew berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.38 petang dan mengesahkan kejadian tidak membabitkan seberang kecederaan. -myMetro

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 11:59 AM

Komen