OPS SARANG KHAS : POLIS GEMPUR LAGI KAWASAN HOTSPOT

OPS SARANG KHAS : POLIS GEMPUR LAGI KAWASAN HOTSPOT

TAWAU, 16 Mac 2019 – Operasi bersepadu (OPS Sarang) yang diselaraskan PDRM IPD Tawau telah dijalankan di 3 kawasan hotspot berasingan awal pagi tadi telah menahan seramai 32 orang warga asing kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Bin Hj. Marsus berkata, OPS Sarang yang bermula pada jam 3.00 pagi dan berakhir 9.00 pagi itu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) IPD Tawau, ESSCOM, Jabatan Imigresen Malaysia, International Criminal Police Organization (INTERPOL) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menumpukan 3 kawasan hotspot iaitu Kampung Vietnam, Kampung Tanah Merah, Jalan Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Batu Laut (Teck Guan) Tawau.

Beliau berkata operasi itu juga tertumpu di kawasan penempatan setinggan yang didiami warga asing.
ACP Fadil berkata, operasi banteras PATI itu merupakan langkah susulan dalam menyahut seruan pihak berkuasa dalam aktiviti pencegahan jenayah bahkan masyarakat yang prihatin dan aktif seharusnya menanam kesedaran akan pentingnya membasmi jenayah dan Dadah serta masalah sosial dalam kawasan mereka.

“PDRM Tawau sekali lagi memandang serius masalah PATI di daerah ini dan operasi merupakan langkah drastik dan agresif yang kita akan ambil untuk menangani masalah PATI susulan kebanjiran PATI yang melibatkan penyalahgunaan Dadah dan jenayah di daerah ini,” katanya.

Beliau mengulas kesemua tangkapan dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat dibawah seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, seksyen 6(3) Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983, Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983 seksyen 3(1) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Selain itu, Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Tawau juga merampas dadah seberat 11.2 gram yang dianggarkan bernilai RM1,200.

Sumber: polis daerah Tawau

Komen