Nelayan diculik bukan rakyat Malaysia – Polis

Nelayan diculik bukan rakyat Malaysia – Polis

MAZLAN (tengah) pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kenderaan kepada PDRM oleh MRCB Gorge Kent, di Mes Pegawai Kanan IPK Selangor. NSTP/Saddam Yusoff.

SHAH ALAM: Polis mengesahkan 10 kru bot nelayan yang didakwa diculik penjenayah rentas sempadan berhampiran perairan Tawi-Tawi, selatan Filipina, awal pagi tadi bukan rakyat tempatan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, berkata semua yang diculik itu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Katanya, mereka juga diculik ketika berada di dalam kawasan perintah berkurung (ESSZONE) dan dalam perairan negara berhampiran FELDA Sahabat.

“Ini warganegara asing yang berkemungkinan dari Indonesia atau negara jiran lain tetapi siasatan masih dijalankan.

“Kita percaya mereka yang diculik adalah nelayan kerana kejadian berlaku pada jam 2.45 pagi iaitu masa untuk menangkap ikan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), di sini hari ini.

Mazlan berkata semua nelayan itu menaiki dua bot bersama enam lagi yang tidak diculik.

Katanya, seorang daripada nelayan yang selamat itu mempunyai pas Imigresen dari Sabah.

“Kita sedang menyiasat siapa terbabit menculik semua nelayan ini selain turut menjalankan siasatan mengapa bot yang mereka kendalikan berada dalam kawasan perintah berkurung itu.

“Ini menjadi persoalan. Jika nelayan tempatan, mesti tahu kawasan itu kawasan larangan,” katanya.

Dua bot berkenaan dipercayai berada di perairan Tambisan dalam perjalanan ke Semporna, sebelum didatangi kumpulan bersenjata menggunakan bot laju, kira-kira jam 2 pagi.

Setakat ini, difahamkan semua mangsa yang diculik adalah lelaki, pemegang dokumen Lepa-Lepa, berusia antara 17 tahun hingga 60 tahun. –bharian

Komen