Nasi Bambong Tawau

Nasi Bambong Tawau

15 tahun bukan tempoh yang singkat untuk bertahan dalam perniagaan makanan lebih-lebih lagi banyak kafe hipster yang wujud bak cendawan tumbuh selepas hujan bagi memenuhi permintaan cita rasa moden.

Bagi pemilik gerai, Kasmah Beddu Halim, 42, dia mampu bertahan selama tempoh itu dengan jualan Nasi Bambong agar dapat membesarkan dan memberikan pendidikan yang cukup kepada dua orang anaknya.

Nasi bambong hanyalah nasi dengan menu biasa seperti ayam, ikan dan pilihan pelbagai sayuran. Bambong pula bermaksud penganggur dalam dialek tempatan, dan nasi bambong mendapat nama kerana harga yang murah dan mampu dinikmati oleh penganggur.

“15 tahun lalu, kami menjual sepinggan penuh nasi bersama lauk dengan harga RM1 sahaja, selepas berganti tahun dan kenaikan harga bahan mentah, kami menjual sepinggan penuh nasi bersama lauk ikan berharga RM2 manakala jika pilihan ayam pula RM3.50,” katanya.

Namun begitu, bukan Kasmah sahaja yang berniaga Nasi Bambong, jika pengunjung ke Taman Sabindo, Tawau deretan gerai yang menawarkan menu yang sama boleh ditemui di belakang pasar rombengan atau pasar bundle yang boleh dilihat melalui jalan utama.

Menurut Kasmah, perniagaannya bermula seawal 5.30 pagi, dia yang akan memasak sendiri semua lauk jualannya, dan gerai akan hanya ditutup pada 5.30 petang selepas habis jualan.

“Saya akan membeli bekalan ikan sebanyak 10kg sehari daripada peraih dan semuanya akan habis terjual pada hari yang sama dan bermaksud stok ikan saya adalah segar,” ujarnya.

Setiap hari juga, Kasmah mampu menjual 300 bungkus nasi bambong, belum termasuk yang dinikmati oleh pelanggan di gerainya hingga dia mampu membesarkan gerainya dengan mengambil tiga tapak kedai.

“Awal berniaga dahulu, saya hanya menggunakan satu tapak saja, dan hasil berjimat-cermat juga permintaan pelanggan, saya mengambil dua tapak lagi dengan kadar sewa RM1090,” katanya.

“Apa yang penting adalah konsisten dengan masakan, sediakan menu yang pelbagai dan utamakan kebersihan gerai agar pelanggan selesa dan suka menikmati makanan di situ”, tambah Kasmah semasa ditemui di gerainya pada Rabu.

Sementara itu, pelanggan tetapnya, Ahmad Hanif Abdul Nusa, 24, berkata peningkatan harga berbanding pada zaman persekolahan memang ada tetapi masih murah dan berbaloi untuk dinikmati.

“Jika kita pergi ke restoran biasa, harga lauk sebegini sudah tentu RM6 hingga RM7 apa lagi jika ditambah dengan ayam, dan potongan ayamnya juga kecil dan tidak berbaloi dengan harga,” katanya.

Tambahnya, apa yang penting ialah kebersihan sesebuah gerai kemudian pilihan lauk yang ditawarkan dan harga yang dikenakan kesemuanya menepati gerai milik Kasmah.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Alijus Sipil ketika dihubungi mengakui keistimewaan Tawau yang mempunyai pelbagai pilihan menu seperti Nasi Kuning dan Mi Tauhu, Nasi bambong juga sangat sinonim dengan daerah ini.

“Nasi bambong turut menjadi pilihan jika ke Tawau kerana harganya yang murah ditambah dengan pelbagai lauk tambahan maka setiap kali berkesempatan ke sini, jangan lepaskan peluang untuk ke Taman Sabindo,” katanya.

Menurut Alijus juga, MPT sedang dalam perancangan untuk menaiktaraf gerai-gerai yang ada di Taman Sabindo secara berfasa dimulai daripada deretan gerai terletak di barisan hadapan yang menjual makanan laut.

“Selepas itu, kita akan segera menaik taraf di bahagian belakang pula dan MPT sebenarnya merancang untuk menambah lagi jumlah gerai makanan dan seterusnya membaiki kemudahan tempat letak kereta terutamanya dari jalan pesisir,” jelasnya.

Namun apa yang penting katanya ialah para peniaga perlu menitikberatkan kebersihan kerana setiap penjaja yang telah diberi lesen perlu ada sijil kesihatan dan perlu pastikan tiada sisa makanan di buang di longkang-longkang bagi mengelakkan kehadiran tikus.

“MPT juga akan menganjurkan kempen untuk mengurangkan populasi tikus di kawasan tersebut pada masa terdekat,” katanya.

Sumber: MalaysiaAktif

–SF

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *