Najib akui Jho Low tipu Malaysia, tapi dakwa ia salah Goldman Sachs

Najib akui Jho Low tipu Malaysia, tapi dakwa ia salah Goldman Sachs

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui bahawa Malaysia telah ditipu oleh ahli perniagaan Low Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low, tetapi mendakwa bank pelaburan Goldman Sachs, peguam dan juruaudit gagal melindungi kepentingan negara dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam temu bual bersama Sinar Harian, bekas perdana menteri itu ditanya sama ada beliau pernah melihat daripada peringkat awal tentang kemungkinan Jho Low menyebabkan negara kehilangan bilion ringgit.

“Tindakan mesti diambil jika jelas bahawa dia telah melakukan kesalahan.

“Pada masa itu kami telah melantik peguam, juruaudit dan Goldman Sachs, sebuah bank pelaburan global yang terkenal.

“Tanggungjawab bank ini dan semua yang lain adalah untuk melindungi kepentingan Malaysia.

“Jika mereka gagal melindungi kepentingan Malaysia, bagaimanakah saya boleh tahu?,” Kata Najib, yang merupakan menteri kewangan dan pengerusi 1MDB pada masa itu.

Beliau menambah bahawa Goldman Sachs, peguam dan juruaudit yang terlibat dalam 1MDB sepatutnya memaklumkan kepada kerajaan bahawa ada ‘sesuatu tidak betul berlaku’.

“Mereka gagal dengan jelas dalam melaksanakan tanggungjawab mereka, contohnya Goldman Sachs. Ini terbukti.

“Sistem yang kami buat untuk melindungi kepentingan kami – pelaburan bank, juruaudit, peguam dan semuanya, mereka tidak memainkan peranan sebenar mereka,” kata Najib.

Ditanya sama ada ini bermakna dia kini mengaku bahawa Malaysia telah ditipu oleh Jho Low, Najib menjawab: “Ya, itulah kesimpulan jika kita mengambil kira apa yang kita tahu hari ini, maka itu adalah kebenaran”.

Ditanya mengenai hubungannya dengan Jho Low, Najib berkata ahli perniagaan itu telah menjadi seorang yang kontroversi, tetapi pernah menjadi perunding dengan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Beliau menambah sebelum 1MDB, Jho Low dilihat sebagai orang yang mempunyai hubungan erat dengan Timur Tengah, terutamanya dengan Emiriyah Arab Bersatu dan Arab Saudi. – The Star
Via mstar

Komen