Murid Tahun 1 parah digigit anjing

Murid Tahun 1 parah digigit anjing

RANAU: Seorang murid perempuan Tahun 1 parah selepas diserang seekor anjing ketika pulang dari sekolah, Jumaat lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari ketika murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lipasu itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumah bersama beberapa rakannya.

Bagaimanapun, ketika berada kira-kira 300 meter dari luar kawasan sekolahnya, seekor anjing tiba-tiba mengejar kumpulan murid berkenaan menyebabkan mereka lari berpatah balik ke dalam sekolah.

Namun, mangsa dikatakan tidak sempat menyelamatkan diri sebelum terus diserang anjing berkenaan.

Rakan mangsa yang berjaya kembali ke sekolah kemudian melaporkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan sebelum mereka bergegas ke lokasi untuk menyelamatkannya.

Pengawal keselamatan itu kemudian membawa mangsa ke dalam kawasan sekolah sebelum dihantar mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Pengarah Pendidik Negeri Sabah, Sr Mistrine Radin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan mangsa dihantar oleh gurunya ke hospital.

Katanya, mangsa sudah dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Difahamkan, mangsa selalunya dijemput pulang dari sekolah oleh bapanya, namun pada hari kejadian, bapa mangsa dikatakan terlewat sampai ke sekolah. -Bharian

Komen