MP BN, PH bersatu sokong usul tergempar isu rusuhan kuil

MP BN, PH bersatu sokong usul tergempar isu rusuhan kuil

Anggota parlimen Malaysia hari ini mengenepikan perbezaan fahaman politik masing-masing dan bersatu hati menyampaikan usul tergempar bagi membincangkan insiden rusuhan di kuil Seafield Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.

Dalam sidang media di parlimen petang ini, kira-kira 20 anggota parlimen dari kerajaan, pembangkang dan bebas sama-sama menyatakan sokongan terhadap usul itu.

Usul di bawah peraturan mesyuarat perkara 18(1) itu dihantar secara berasingan oleh wakil BN iaitu Anggota Parlimen Beluran Dr Ronald Kiandee dan wakil Pakatan Harapan (PH) Anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.

Menurut Fahmi, usul yang dihantarnya telah diterima oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof dan akan dipertimbangkan untuk dibahas pada Khamis ini.

“[…] Kami telah berkumpul sebagai satu tanda solidariti tanpa kepartian untuk menunjukkan bahawa semua ahli parlimen menganggap perkara ini perlu diberi penekanan khusus dan perlu kita rungkai bersama dalam suasana keharmonian dan kita perlu bergerak ke hadapan.

“[…] Kami meminta semua rakyat Malaysia bersabar dalam keadaan ini dan tidak menyebar maklumat yang tidak sahih dan tidak benar. […] Pastikan kita tidak membantu menyebar di media sosial maklumat palsu dan tidak benar yang cuma akan memburukkan keadaan,” katanya.

Turut hadir Ahli Parlimen BN, PH dan bebas antaranya Johari Abdul (PH PKR-Sungai Petani), Ramkarpal Singh (PH DAP-Bukit Gelugor), Alice Lau Kiong Yieng (PH DAP-Lanang), Abdullah Sani Abdul Hamid (PH PKR-Kapar), Noh Omar (BN Umno-Tanjong Karang) dan Shahidan Kassim (BN Umno-Arau).

Selain itu, Noor Azmi Ghazali (bebas-Bagan Serai), Mas Ermieyati Samaudin (Bebas-Masjid Tanah), Charles Anthony Santiago (PH DAP-Klang), P Prabakaran (PH PKR-Batu), SN Rayer (PH DAP-Jelutong) dan Maria Chin Abdullah (PH PKR-Petaling Jaya) turut hadir sidang media itu.

Terdahulu, sidang media oleh anggota parlimen BN turut diadakan bagi menghebahkan tentang usul serupa yang dihantar lebih awal.

Sidang media itu dihadiri oleh wakil-wakil BN antaranya Ismail Sabri Yaakob (Umno- Bera), Halimah Sadique (Umno- Kota Tinggi), M Saravanan (MIC- Cameron Highlands) dan Dr Shamsul Anuar Nasarah (Umno- Lenggong).

Ismail ketika bercakap kepada pemberita menyuarakan kebimbangannya bahawa insiden rusuhan itu berpotensi untuk merebak ke seluruh negara sekiranya tidak dikawal dengan segera.

“Ini tidak baik untuk masa depan negara. Selama ini kita kekal bertoleransi dan aman, kita bimbang perkara ini diambil kesempatan oleh pihak tertentu dan menjadikan sebagai isu perkauman.

“Perkara ini perlu dibincangkan di parlimen oleh semua pihak sama ada pembangkang atau kerajaan, kerana semuanya tidak boleh menerima perkara ini berlaku,” tambahnya lagi.

Rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman yang bermula pagi Isnin lalu dan berlarutan hingga ke awal pagi tadi menyebabkan 23 kenderaan rosak dan dibakar.

Sebuah lori bomba turut dirosakkan, sementara seorang anggota bomba perubatan cedera parah dipukul perusuh.

Setakat ini polis telah menahan 21 individu bagi membantu siasatan.

malaysiakini

Komen