Minta bantuan bomba akibat keletihan

Minta bantuan bomba akibat keletihan

DUA lelaki mendapatkan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas mengalami kesukaran menuruni bukit akibat keletihan ketika mendaki Bukit Panchang di sini, awal pagi tadi. – Foto ihsan bomba

TAWAU: Dua lelaki mendapatkan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas mengalami kesukaran menuruni bukit akibat keletihan ketika mendaki Bukit Panchang di sini, awal pagi tadi.

Difahamkan, Mohd Hasrul Huswali, 22, dan Mohd Amirul Mohamad, 17, yang memulakan pendakian kira-kira jam 6 pagi tadi, tidak larat turun akibat terlalu letih lalu menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Sabah, Affendy K Ramin, berkata pihaknya menerima panggilan daripada mangsa pada jam 11.25 pagi menyatakan kedua-dua menyangka tersesat selepas terpisah dengan rakan yang lain.

“Akibat terlalu penat dan kehausan, mereka tidak larat meneruskan perjalanan menuruni bukit berkenaan.

“Enam anggota bomba dihantar ke lokasi pada jam 11.26 pagi tadi dan menemui mangsa pada jam 1.13 tengah hari.

“Ketika ditemui, kedua-duanya lemah dan lesu. Mereka diberi minum dan diarah berehat seketika sebelum dibantu menuruni bukit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, mangsa tidak mengalami kecederaan tetapi kepenatan dipercayai akibat kurang persediaan ketika mendaki bukit.

AHAD, 14 JANUARI 2018 Berita Harian

Komen