Menyigup di Airport, akhirnya ‘terbang’ RM250

Menyigup di Airport, akhirnya ‘terbang’ RM250

Penguat kuasa PKPK Tawau mengeluarkan notis kompaun terhadap individu ingkar selepas didapati merokok di Lapangan Terbang Tawau. FOTO Ihsan PKPK Tawau

AKIBAT tidak mengendahkan papan tanda larangan merokok, seramai 13 individu masing-masing dikenakan kompaun RM250 selepas dikesan merokok dalam kawasan larangan merokok di Lapangan Terbang Tawau, malam tadi.

Notis kompaun dikeluarkan Pejabat Kesihatan Persekitaran Kawasan (PKPK) Tawau dalam operasi hampir tiga jam membabitkan 10 penguat kuasa yang berakhir jam 10.30 malam.

Pegawai PKPK Tawau, Rahman Sampe berkata, dalam operasi kali ketiga secara berkala itu, pihaknya mendapati sebilangan perokok masih gagal mematuhi peraturan larangan merokok di kawasan lapangan terbang seperti diwartakan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Katanya, segelintir perokok masih tidak mengendahkan larangan walaupun papan tanda dan hebahan kerap dibuat.

“Ini termasuk pemasangan papan tanda larangan di lokasi mudah dilihat seperti di hadapan balai berlepas dan ketibaan serta ruang legar.

“Kita ingin tegaskan seluruh kawasan lapangan terbang sudah diwarta sebagai kawasan larangan merokok mengikut PPKHT 2004.

“Mana-mana individu atau perokok yang berdegil dan didapati merokok di zon larangan merokok, hukuman akan dikenakan mengikut Peraturan 11(1)(g) PPKHT 2004,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengelak tindakan mahkamah, semua 13 individu diberi notis hadir ke Pejabat Kesihatan Tawau untuk membayar kompaun RM250 mengikut tempoh diberikan.

Dalam pada itu, katanya, operasi sama akan dilaksanakan secara berterusan bukan sahaja di lapangan terbang, malah lokasi yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 11:47 AM. –hmetro

Komen