Megat ambil berkat Syawal tamatkan zaman bujang

Megat ambil berkat Syawal tamatkan zaman bujang

KEBERKATAN Syawal diraikan Megat dan Nurul Bania dengan ikatan pernikahan, Sabtu lalu. Foto Ihsan Megat Adzuan

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang juga protege Aizat Amdan dalam program realiti, Mentor 7, Megat Adzuan Mazlan menamatkan zaman bujangnya, Sabtu lalu di Tawau, Sabah.

Megat, 25, yang juga rakan duet Amylea Azizan dalam lagu tema drama Nur 2, Tetap Kamu itu memilih pensyarah di sebuah kolej swasta, Nurul Bania Bahari sebagai suri hidupnya.

Pasangan itu berkenalan pada 2017, seterusnya mengikat tali pertunangan pada 19 Jun tahun lalu, diraikan dalam majlis sederhana, namun meriah.

“Kami bernikah pada sebelah pagi, disusuli majlis persandingan pada hari sama. Sengaja kami memilih 4 Syawal sebagai tarikh pernikahan untuk mengambil keberkatan bulan mulia.

“Secara tidak langsung, majlis pernikahan kami menjadi rumah terbuka yang mengeratkan lagi silaturahim sesama ahli keluarga, sanak saudara dan rakan taulan.

“Sehari sebelum bernikah, keluarga isteri sempat mengadakan majlis malam ‘mappaci’ atau berinai, manakala di sebelah pihak lelaki pula diadakan acara berbedak,” katanya.

Megat berkata, dia tidak ralat menamatkan zaman solo ketika bakatnya mula mendapat perhatian kerana percaya rezeki yang ditentukan Allah.

“Insya-Allah, selagi kita berusaha, rezeki pasti ada. Saya tidak rasa terlalu cepat mengambil keputusan mendirikan rumah tangga kerana ia sudah dibincangkan sejak awal.

“Semua persediaan untuk majlis perkahwinan dirancang sebelum saya menyertai program Mentor lagi. Alhamdulillah, semua perancangan kami terlaksana dengan baik,” katanya.

Mengenai perancangan berbulan madu dan memiliki cahaya mata, Megat berkata, dia serta isterinya masih belum memikirkan perkara itu lagi.

“Semuanya bergantung kepada kelapangan masa dan rezeki. Insya-Allah, jika diberikan rezeki lebih, pasti kami ingin pergi berbulan madu.

“Begitu juga soal anak, kalau diberikan Allah rezeki awal, kami tidak menolak,” katanya yang turut popular dengan lagu solo, Cintaku. -bharian

Komen