Mayat lelaki ditemukan terbaring atas jalan raya

Mayat lelaki ditemukan terbaring atas jalan raya

LAHAD DATU: Mayat seorang lelaki berseluar jeans tanpa baju ditemui dalam keadaan terbaring di depan premis di Jalan Teratai, dekat sini awal pagi tadi (Selasa).

Seorang saksi, Ruming Muin, 53, yang bekerja sebagai penghantar surat khabar berkata dia melihat seorang lelaki yang terbaring di atas jalan kira-kira jam 3.30 pagi.

Menurutnya, dia bertindak mengabaikan kejadian itu dengan meneruskan kerjanya menghantar surat khabar menaiki motosikal ke premis berdekatan di situ.

“Saya lihat ada orang baring atas jalan tapi saya jalan terus hantar newspaper sebab sangka itu orang mabuk,” katanya.

Ruming terkejut menjelang waktu pagi sewaktu mahu mengambil keretanya, kawasan tersebut dipenuhi anggota polis dan dimaklumkan ada mayat di situ.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor mengesahkan kejadian itu berkata mayat ditemui orang awam dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

Dimaklumkan, satu sidang media berhubung kejadian itu akan diadakan esok.

oleh

NORWAHIDA YAMALUDDIN : – Utusan Borneo

Komen