Maut dirempuh kenderaan 4WD

Maut dirempuh kenderaan 4WD

Keadaan motosikal mangsa selepas dilanggar sebuah pacuan empat roda dalam kemalangan di Batu 9 Jalan Apas di Tawau. – Foto ihsan Polis

TAWAU: Seorang pekerja am sebuah ladang kelapa sawit maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Batu 9 Jalan Apas, di sini malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7.40 malam itu, Tasius Tallu, 40, yang menunggang motosikal jenis Modenas cedera parah sebelum dikejarkan ke hospital.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor, berkata mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 6.50 pagi tadi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu 4WD jenis jenis Toyota Land Cruiser dipandu lelaki berumur 33 tahun dari arah Bandar Sri Indah menuju ke pusat bandar.

“Ketika tiba di lokasi kejadian pemandu terbabit bertindak mengubah haluan kenderaannya dari lorong kanan ke lorong kiri sebelum terlanggar motosikal dinaiki mangsa yang berada di lorong kiri arah yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Nor Azizulkifli berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tawau sebelum dituntut ahli keluarga mangsa.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) (A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. -Bharian

Komen