Masih degil hisap rokok dalam kedai makan

Masih degil hisap rokok dalam kedai makan

SERAMAI 14 perokok diberi amaran bertulis kerana didapati merokok di kawasan larangan premis makanan dalam Ops Premis Bersih di Tawau, malam tadi.

Dalam operasi selama tiga jam bermula 8 malam itu, sebanyak 15 premis diperiksa dengan dua daripadanya diarah tutup serta-merta kerana didapati beroperasi dalam keadaan kotor.

Pegawai Pejabat Kesihatan Persekitaran Kawasan (PKPK) Tawau, Rahman Sampe berkata, operasi dijalankan sepasukan 13 pegawai di kawasan Muhibbah Bal dan premis perniagaan di Semarak.

Katanya, operasi itu dijalankan secara serentak bersama operasi ‘penguatkuasaan pendidikan’ berkaitan pematuhan larangan merokok di premis makanan di bawah Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PKHT) 2004.

“Hasil operasi itu, kami dapati daripada 15 premis diperiksa, hanya satu yang masih gagal memasang tanda larangan merokok dan tindakan amaran telah dikeluarkan,” katanya di Tawau, hari ini.

Dalam pada itu, Rahman sekali lagi memberi peringatan kepada pemilik premis termasuk pengusaha atau pengendali gerai makanan (kiosk) supaya mengikuti dan mendapatkan sijil kursus pengendalian makanan, selain mendapatkan suntikan vaksin.

“Jika ada sebarang masalah atau kemusykilan, orang ramai atau pihak yang berkenaan boleh datang ke pejabat dan kami sedia memberi khidmat nasihat berkenaan pematuhan peraturan serta undang-undang berkaitan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 10:23 AM

Sumber : harian metro

Komen