Maritim Malaysia gagalkan cubaan rompak di laut

Maritim Malaysia gagalkan cubaan rompak di laut

BOT dan peralatan yang dirampas Maritim Malaysia selepas menggagalkan cubaan merompak di laut. FOTO Ihsan Maritim Malaysia

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan sekumpulan tiga lelaki melakukan rompakan di tengah laut di kawasan perairan Tanjung Tabu-Tabu, Semporna, awal pagi semalam.

Tiga lelaki terbabit dipercayai mahu melakukan kegiatan jenayah itu susulan penemuan empat senjata tajam dalam bot pam dinaiki mereka iaitu sebilah pedang samurai, parang panjang, pisau dan parang pendek atau dikenali sebagai barong.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, bot pam dinaiki tiga suspek itu dikesan oleh sepasukan anggota bot peronda Maritim Malaysia dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 4.30 pagi.

Beliau berkata, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek memecut bot pam mereka ke kawasan perairan cetek sebelum terjun ke laut dan gagal dikesan.

“Selepas diperiksa, anggota Maritim Malaysia menemui empat senjata tajam yang dipercayai digunakan untuk melakukan aktiviti merompak dan memeras ugut nelayan di laut seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Norrimi berkata, bot pam bersama barang rampasan termasuk senjata dan enjin pam yang dianggarkan bernilai RM5,000 dibawa ke Jeti Kem Azumi, Semporna untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

hmetro

Komen