Mahkamah putuskan Isnin sama ada Musa Aman dapat kembali pasport

Mahkamah putuskan Isnin sama ada Musa Aman dapat kembali pasport

Musa Aman mohon pasport untuk sambung rawatan di luar negara. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen akan putuskan Isnin ini permohonan bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang mahukan pasport buat sementara untuk menyambung rawatan di luar negara.

Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayub menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah peguam Musa, Amer Hamzah, dan Penolong Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran.

Musa mengaku tidak bersalah pada November tahun lalu atas 35 tuduhan berkaitan konsesi balak bawah Akta Anti-Rasuah 1997.

Semua kesalahan didakwa dilakukan 10 ke 14 tahun lalu di Singapura dan Hong Kong dengan transaksi daripada AS$28,500 hingga AS$16,148,547, semua berjumlah RM263 juta.

Sekiranya didapati bersalah, beliau berdepan penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau 5 kali jumlah rasuah didakwa diterima, berdasarkan yang mana lebih tinggi.

Musa serahkan pasport kepada mahkamah sebagai syarat jamin.

Ditemui di luar mahkamah, Amer memberitahu pemberita, tujuan Musa ke luar negara adalah untuk menyambung rawatan yang dihentikan apabila beliau menutuskan untuk pulang membantu siasatan.

Musa menjalankan rawatan di United Kingdom dan Singapura sebelum didakwa di mahkamah.

Amer berkata, pihak pendakwaan membantah permohonan Musa atas alasan kemungkinan beliau mengganggu saksi-saksi.

“Kami nyatakan tuduhan pendakwaan itu tiada berasas dan tidak disokong oleh apa-apa bukti yang beliau mungkin akan mengganggu saksi atau beliau tidak akan kembali ke Malaysia.

“Sebaliknya, kami tunjuk kepada mahkamah beliau sendiri mahu kembali ketika menjalankan rawatan di luar negara untuk membantu siasatan.

“Kami ada pengesahan daripada doktor bahawa Musa mahu kembali walaupun dinasihatkan tidak berbuat demikian disebabkan keadaan kesihatannya.

“Sebaik sahaja beliau kembali ke Malaysia, kami menghubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis untuk membantu siasatan serta memaklumkan kepada mereka keadaan beliau,” katanya.

Menurut Amer, Musa juga mempunyai kes rayuan berkaitan tuntutan kelayakan beliau sebagai ketua menteri Sabah.

Mahkamah Tinggi menolak usaha Musa melalui undang-undang untuk diisytiharkan sebagai ketua menteri Sabah selepas dia digugurkan Tun Juhar Mahiruddin, yang melantik Datuk Seri Shafie Apdal pada 12 Mei lalu.

Sementara itu, Musa mengelak soalan pemberita tentang di mana anaknya, Yamani Hafez, kini berada.

Yamani belum angkat sumpah sebagai ahli Parlimen Sipitang. Beliau dijadualkan berbuat demikian Isnin depan di Dewan Rakyat.

Freemalaysiatoday

Komen