Mahathir dan Najib adalah pasangan kembar..

Mahathir dan Najib adalah pasangan kembar..

NAJIB kiri bersama abangnya, Mahathir menunjukkan MyKad masing-masing. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap

PASANGAN beradik kembar dilahirkan pada 1995 ini dinamakan Mahathir dan Najib sempena nama Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, ketika itu.

Nama pasangan kembar tidak seiras diberikan bapa mereka Norkaferi Ahmad, 56, yang juga pesara tentera sedikit sebanyak mendapat usikan rakan, namun mereka tidak pernah mengambil hati, malah berbangga memiliki nama berkenaan.

Mahathir, 24, berkata nama dia dan adiknya Najib, diberi sebaik dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang mana bapanya masih bertugas bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Sungai Besi, ketika itu.

Katanya, disebabkan ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri manakala Datuk Seri Najib Razak Razak memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan, bapanya memberikan nama itu kepada mereka.

“Ketika itu, bapa tidak menyangka kami dilahirkan kembar sebelum mendapat idea untuk meletakkan nama sempena nama dua pemimpin Melayu ketika itu.

“Kami bukan kembar seiras jadi kebanyakan rakan setugas tidak mengetahui status kami sebagai adik beradik kembar. Kami berkongsi bilik di rumah yang disediakan majikan,” katanya yang menetap di Temerloh, Pahang.

Najib dan Mahathir kini bekerja di tempat sama sebagai mekanikal fitter di sebuah syarikat berkaitan minyak dan gas di Bintulu, Sarawak, sejak dua minggu lalu.

Menceritakan persamaan mereka sebagai adik-beradik kembar, banyak minat dan aktiviti yang mereka kongsikan bersama, namun lumrah sebagai adik-beradik mereka tidak terlepas daripada bertengkar.

“Ada kala kami bergaduh juga, bertengkar adik beradik dan itu adalah lumrah, namun ia tidak berpanjangan,” kata Mahathir, ketika dihubungi Harian Metro.

Mahathir mengakui mereka tidak terlepas daripada menerima usikan rakan mengenai nama mereka, namun beranggapan ia adalah perkara normal dan tidak mengambil hati.

“Kini kami masih lagi bersama kerana memilih bidang kerjaya yang sama termasuk sering bertugas bersama di tempat lain seperti di Melaka, Johor, Terengganu malah ke luar negara seperti Brunei dan Singapura,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 11:02 AM -Hmetro

Komen