Macau Scam: Polis tahan 80 individu di Sabah

Macau Scam: Polis tahan 80 individu di Sabah

KOTA KINABALU: Polis mematahkan kumpulan sindiket penipuan Macau scam yang berpusat di negeri ini, sehingga menyebabkan seorang lelaki warga emas mengalami kerugian sebanyak RM1.4 juta.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata tangkapan membabitkan 80 individu dipercayai warga China berusia antara 17 hingga 33 tahun melalui dua serbuan yang dilakukan pada Rabu lalu.

ADVERTISING

“Dalam kes ini, seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun membuat laporan polis menyatakan ada menerima panggilan daripada ‘Inspektor Yong’ yang bertugas di Pulau Pinang.

“Ketika panggilan dibuat, lelaki yang menyamar sebagai Inspektor Yong memaklumkan kepada pengadu bahawa akaunnya digunakan untuk membuat transaksi penggubahan wang haram dan pengadu diminta untuk memasukkan wang sebanyak RM1.4 juta ke dalam 12 akaun berasingan.

“Disebabkan takut, pengadu memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun yang dinyatakan tetapi pengadu kemudian merasakan bahawa dia tertipu sebelum laporan polis dibuat di Balai Polis Karamunsing,” katanya dalam sidang media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Ekoran daripada laporan itu, Omar berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPK Sabah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan IPD Penampang membuat serbuan terhadap 11 unit kondominium di Lido Avenue Jalan Lintas Penampang.

“Lapan unit kondominium didapati didiami suspek dan hasil pemeriksaan, semua tangkapan ialah warga China termasuk 10 daripadanya memiliki pasport, namun sudah tamat tempoh perjalanan, manakala 70 lagi setakat ini tiada dokumen kita dapat daripada mereka.

“Hasil serbuan turut berjaya merampas beberapa peralatan yang kita syaki digunakan untuk tujuan penipuan Macau Scam seperti komputer riba, komputer, telefon bimbit, tablet, alat peranti rangkaian, pengimbas kad, kad sim, pelbagai dokumen dan wang tunai, termasuk mata wang China dan Vietnam,” katanya.

Omar berkata, satu lagi serbuan dibuat di kawasan berhampiran dan berjaya merampas, termasuk beberapa dokumen tulisan Cina dipercayai sebagai panduan untuk berkomunikasi dengan mangsa bagi tujuan penipuan.

“Usaha masih sedang dilakukan bagi mengenal pasti mangsa yang terbabit dalam sindiket ini sama ada berada di dalam negara atau sebaliknya,” katanya.

Omar berkata, semua tahanan direman bermula kelmarin sehingga 27 Oktober ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai permit atau pas perjalanan yang sah,” katanya.
-BHarian

Komen