LORI BAWA MUATAN BIJIH KELAPA SAWIT 30 TAN TERBALIK

LORI BAWA MUATAN BIJIH KELAPA SAWIT 30 TAN TERBALIK

Lori dengan muatan 30 tan bijih kelapa sawit terbalik dalam kemalangan itu. Gambar SNT/Ehsan Polis Tawau

TAWAU: Seorang pemandu lori hampir menemui ajal apabila kenderaan dipandunya terbabas selepas cuba mengelak Toyota Hilux yang cuba `memakan jalan’ di simpang Taman Megah Jaya an bulatan Tiku, Jalan Tiku di sini.

Dalam kejadian pada pukul 10.10 pagi ini, lori berkenaan yang membawa kira-kira 30 tan bijih kelapa sawit terbalik selepas berlanggar dengan Toyota Hilux tersebut, namun pemandu dan penumpang kedua-dua kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Keadaan Toyota Hilux yang berlanggar dengan lori tersebut. Gambar SNT/Ehsan Polis Tawau

Ketua Polis Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati, pemandu Lori dari arah Merotai menuju ke Kunak dengan membawa muatan bijih kelapa sawit kira-kira 30 tan.

“Apabila tiba di tempat kejadian, tiba-tiba sebuah Toyota Hilux cuba memotong dan pemandu lori telah mengelak ke kiri jalan, namun kerana jarak yang terlalu dekat, lori dan Toyota Hilux telah berlanggar dari tepi hadapan lalu bergesel dan terbabas ke bahu jalan.

“Menurut pemandu lori berusia 65 tahun itu, pemandu Toyota tersebut tidak memandu dengan konsisten dan masuk ke laluan lori,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Fadil berkata, kes tersebut disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59. – SabahNewsToday

Komen