Lima lelaki bersenjata ditahan di Pulau Mataking

Lima lelaki bersenjata ditahan di Pulau Mataking

ATB 2 menahan lima lelaki bersenjata ketika menyusup masuk ke kawasan perairan Malaysia. FOTO Ihsan ATB2

SEMPORNA, 11 April – Angkatan Tentera Malaysia menerusi Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) menahan lima lelaki bersama senjata api dan peluru hidup memasuki perairan Pulau Mataking dekat sini, pagi tadi.

Komander ATB 2, Brig Jen Datuk Zarondin Md Amin berkata bot dinaiki kumpulan bersenjata itu dikesan operator radar, Bdr Alix Lamius selepas bergerak laju dari perairan Sitangkai, Filipina menuju ke perairan Sabah, Malaysia.

“Menyedari pergerakan bot tersebut, Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) dari 8 Rejimen Renjer Diraja (PARA) diketuai Sarjan Salleh Zakaria digerakkan pada 9.45 pagi untuk memintas bot itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Penahanan bot pada 9.56 pagi itu, katanya membawa penemuan lima lelaki berumur antara 28 hingga 45 tahun tiada pengenalan diri bersama dua senjata api dan 18 butir peluru 9mm serta 33 butir peluru senapang patah.

“Mereka ditahan dan diletakkan dalam kawalan rapi manakala senjata api dirampas,” katanya.

Kesemua tahanan, menurut Zarondin diserahkan kepada pihak polis di Semporna untuk siasatan lanjut.

— BERNAMA

Sabahpost

Komen