LELAKI TEMPATAN EDAR DADAH DICEKUP

LELAKI TEMPATAN EDAR DADAH DICEKUP

LAHAD DATU: Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan dipercayai memiliki syabu seberat 5.62 gram bernilai RM840 dalam Ops Tapis, di kawasan Jalan Teratai, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasir Mansor berkata, dalam kejadian jam 8.45 pagi itu, suspek berusia 25 tahun dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan sebelum pihak polis bertindak menahan suspek.

Suspek berusia 25 tahun ditahan di kawasan Jalan Teratai, Lahad Datu, semalam dan disiasat dibawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Gambar SNT/Ihsan Polis Lahad Datu

“Pemeriksaan dilakukan dan kita menemui satu paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 5.62 gram dianggarkan bernilai RM840 dan 15 gulung kertas timah di poket kanan seluar suspek.

“Ujian saringan air kencing dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis Methapethamine dan Amphetamine,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Polis menemui satu paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 5.62 gram dianggarkan bernilai RM840 dan 15 gulung kertas timah di poket seluar suspek. Gambar SNT/Ihsan Polis Lahad Datu

Beliau berkata, suspek turut memiliki rekod lampau berkaitan dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek kini ditahan dibawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – SabahNewsToday

Komen