Lelaki parah ditikam, dibelasah 7 lelaki

Lelaki parah ditikam, dibelasah 7 lelaki

GAMBAR seorang lelaki cedera parah apabila ditikam dan dibelasah tujuh lelaki dalam kejadian di Jalan Merdeka 3 Tawau, awal pagi tadi. – Foto Ihsan pembaca

Gambar Ihsan Pembaca (SA021218RT001 – 003)

TAWAU: Seorang lelaki cedera parah apabila ditikam dan dibelasah tujuh lelaki dalam kejadian di Jalan Merdeka 3 dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa berusia 35 tahun ditikam di bahagian perut kanan, luka di bahagian perut kiri serta pipi kiri.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata mangsa dibelasah tujuh lelaki termasuk seorang menggunakan motosikal jenis 125Z warna biru nombor pendaftaran ST 5262 W atas nama lelaki beralamat di Kampung Sri Titingan E-2/3 Jalan Damai, di sini.

“Mangsa ditikam oleh salah seorang suspek di Jalan Merdeka 3 dengan motif kejadian belum diketahui.

“Dia kemudian melarikan diri menghala ke bahagian hadapan CIMB Bank untuk menerima bantuan, namun dikejar dan dipukul oleh suspek terbabit,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Fadil berkata, orang awam yang melalui kawasan berkenaan kemudian menghantar mangsa ke Hospital Tawau untuk menerima rawatan.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti motif kejadian serta mengesan suspek dan saksi kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. –bharian. Oleh Abdul Rahemang Taiming

Komen