Lelaki amuk serang polis hadapi tiga tuduhan jenayah

Lelaki amuk serang polis hadapi tiga tuduhan jenayah

KEJADIAN lelaki menyerang anggota Polis di Klang pada 2 April lalu.

SHAH ALAM: Seorang lelaki yang mengamuk dan menyerang seorang anggota polis kerana kegagalannya mengeluarkan wang daripada sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi, Klang minggu lalu, berkemungkinan berdepan dengan tiga pertuduhan jenayah.

Ketua Polis Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata lelaki berusia 41 tahun itu, yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes cubaan membunuh minggu lalu, kini disiasat membabitkan kes pemilikan dadah dan melakukan khianat dan menyebabkan kerugian.

“Perintah reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan untuk cubaan membunuh sudah tamat.

“Kami memperoleh perintah reman baharu daripada Mahkamah Majistret. Ia bagi membolehkan siasatan terhadap suspek membabitkan kesalahan dadah untuk bahan dipercayai dadah yang ditemui dalam begnya pada hari kejadian.

“Kami juga akan menyiasat membabitkan kesalahan melakukan khianat kerana dia dipercayai memecahkan mesin wang automatik (ATM) selepas gagal mengeluarkan duit.

“Sebaik siasatan tamat, kami akan dakwanya untuk cubaan membunuh, kesalahan dadah serta kesalahan melakukan khianat dan menyebabkan kerugian,” katanya, hari ini.

Suspek berkenaan sebelum ini ditahan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) pada Selasa lalu.

Kejadian itu terungkai apabila polis menerima panggilan daripada pengawal keselamatan sebuah bank mengenai seorang lelaki yang mengamuk selepas gagal mengeluarkan wang.

BH Online sebelum ini melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, pihaknya menerima panggilan mengenai seorang lelaki yang mengamuk di sebuah bank di Bukit Tinggi sebelum dua anggota URB 3 dikejarkan ke bank berkenaan.

Shamsul Amar berkata, sebaik tiba, kedua-dua anggota URB itu mendapati suspek sudah beredar dan pengawal keselamatan di bank itu memaklumkan, suspek memberitahu akan kembali semula ke bank itu pada jam 2 petang.

“Suspek memberitahu pengawal keselamatan itu, jika dia tidak boleh juga mengeluarkan duit, dia akan mengamuk lagi.

“Pada jam 2 petang, pengawal keselamatan menghubungi semula anggota URB 3 dan memaklumkan suspek itu sudah berada di bank berkenaan.

“Anggota URB 3 menghala semula ke bank itu dan mendapati suspek berada di hadapan bank dalam keadaan marah dan memegang pisau,” katanya dalam satu kenyataan.

Shamsul Amar berkata, seorang daripada anggota URB 3 itu cuma menenangkan suspek selama 20 minit, namun lelaki itu bertindak agresif dan mengejar anggota berkenaan sebelum cuba menikamnya dengan pisau.

Katanya, bagi mempertahankan diri, anggota URB 3 itu serta rakan setugasnya melepaskan empat das tembakan dengan dua daripadanya mengenai bahagian perut suspek.

Beliau berkata, siasatan mendapati lelaki itu berusia 41 tahun dan berasal dari Sabah tetapi menetap di Bandar Bukit Tinggi 1, Klang.

Katanya, kejadian berlaku selepas wang dipercayai belum masuk ke dalam akaun milik suspek, manakala sebuah mesin juruwang automatik (ATM) turut dirosakkan ketika kali kedua suspek datang dan mengamuk di premis berkenaan. –Bharian

Komen