LEBIH 2,000 SAMBULAYANG HIASI PEKAN SEMPORNA SEMPENA PESTA REGATTA LEPA-LEPA

LEBIH 2,000 SAMBULAYANG HIASI PEKAN SEMPORNA SEMPENA PESTA REGATTA LEPA-LEPA

SEMPORNA: Lebih 2,000 layar perahu atau dikenali sebagai Sambulayang bagi masyarakat Bajau telah dipasang di sepanjang jalan menuju ke Pekan Semporna sebagai simbolik kemeriahan sambutan pesta Regata Lepa.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong berkata sambutan pada kali ini juga akan lebih meriah berbanding tahun sebelumnya dengan mensasarkan kehadiran lebih 50,000 pengunjung.

Sambulayang ialah layar perahu bagi masyarakat suku kaum Bajau. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Saya melihat jumlah Sambulayang yang menghiasi sepanjang jalan itu adalah yang terbanyak sepanjang 26 tahun penganjuran pesta ini diadakan.

“Ini adalah kali pertama penganjuran Regatta Lepa-Lepa di bawah parti Warisan dan kerajaan Sabah yang baharu jadi kita jangka akan meriah dengan kehadiran ramai pengunjung,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke tapak perasmian pesta Regatta Lepa-Lepa 2019 di Padang Pekan Semporna, petang tadi.

Sambulayang menghiasi Pekan Semporna. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, persiapan menyambut pesta ini berada pada tahap 70 peratus menjelang empat hari lagi acara kemuncaknya.

Katanya pesta itu juga akan dihadiri Tuan Yang Terutama, Tun Juhar Mahirudin dan isteri serta diserikan dengan persembahan nyanyian daripada selebriti tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

“Sepanjang pesta air berkenaan, pelbagai acara sudah disusun membabitkan aktiviti di darat dan di laut yang memaparkan budaya tradisi masyarakat suku kaum Bajau di Semporna.

Salah satu Sambulayang yang menghiasi jalan-jalan di Semporna . Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Selain itu, tapak untuk orang ramai yang ingin menjalankan perniagaan pada pesta itu juga ada disediakan oleh Majlis Daerah Semporna (MDS),” katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat yang hadir sepanjang pesta berkenaan supaya sentiasa mematuhi aspek keselamatan yang ditetapkan pihak berkuasa termasuk mematuhi peraturan lalu lintas.-SabahNewsToday

Komen