Latih amal tsunami di Tawau 14 November

Latih amal tsunami di Tawau 14 November

Jabatan Meteorologi Malaysia

TAWAU – Satu latih amal bencana gempa bumi dan tsunami akan diadakan di sini pada Rabu depan bagi meningkatkan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi berkaitan selain memberi pendedahan kepada orang ramai ketika berdepan situasi sedemikian.

Penyelia Jabatan Meteorologi Tawau, Jasni Ahmad berkata latih amal itu akan melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Meteorologi Malaysia dan beberapa agensi pengurusan bencana daerah Tawau.

“Pada hari berkenaan, bermula 7.15 pagi, siren amaran tsunami di kawasan Masjid Al-Kauthar dan Masjid Al-Mukarramah, Tanjung Batu (akan berbunyi).

“Kita berharap penduduk terlibat memberi respons walaupun ia merupakan satu latih amal,” katanya kepada Bernama selepas melakukan pemeriksaan ke atas alat amaran tsunami di kawasan Masjid Al-Kauthar hari ini.

Dalam notis (pemberitahuan) yang dikeluarkan Nadma dan viral di media sosial baru-baru ini, penduduk, pengunjung, pelancong, pengusaha hotel dan chalet serta peniaga diminta agar tidak cemas apabila terdengar bunyi siren.

Notis berkenaan juga meminta orang ramai agar memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

Mengenai pemantauan alat amaran tsunami di pantai timur Sabah, Jasni berkata pihak Jabatan Meteorologi telah memasang dua sistem amaran tsunami di Tawau, Lahad Datu (3), Semporna (2) dan Kunak (1).

Katanya sistem amaran tsunami berkenaan boleh didengar dalam jarak dua kilometer persegi pada waktu sunyi khususnya malam. – Bernama

Komen