LAPANGAN TERBANG TAWAU AKAN DIBESARKAN BAGI MENAMPUNG PERTAMBAHAN PENUMPANG YANG MENINGKAT

LAPANGAN TERBANG TAWAU AKAN DIBESARKAN BAGI MENAMPUNG PERTAMBAHAN PENUMPANG YANG MENINGKAT

TAWAU; 12 NOVEMBER 2019 (Selasa) – Malaysia Airport Sendirian Berhad sedang dalam perancangan memperbesar dan menaiktaraf Lapangan Terbang Tawau bagi menampung kapasiti penumpang yang semakin meningkat.

Pengurus Besar Malaysia Airports Sendirian Berhad, Kamaruzzaman Razali berkata, bagaimanapun, kos keseluruhan projek itu belum diputuskan berikutan pihak juruperunding yang dilantik pada September lepas masih membuat kajian menyeluruh berkenaan pembesaran terbabit.

Beliau berkata, juruperunding berkenaan telah membuat lawatan tapak Lapangan Terbang Tawau pada 4 Oktober lepas dan dijangka melengkapkan kajian berkenaan pada April tahun depan sebelum memulakan pembinaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita RTM selepas mendengar taklimat ‘Tawau Airport Modenization Plan’, di Lapangan Terbang Tawau.

Menurut Kamaruzzaman, pada 2018, Lapangan Terbang Tawau telah menerima kehadiran pelancong sehingga 1.64 juta orang dan melebihi kapasiti terminal lapangan terbang iaitu 1.5 juta orang sejak dibuka pada Disember 2001.

Katanya, ini menunjukkan peningkatan ketara dan antara keperluan utama pembesaran Lapangan Terbang ini antaranya adalah pengasingan penumpang Domestik dan antarabangsa memandangkan Tawau menerima ramai pelancong dari luar negara selain mengikut piawaian Lapangan terbang.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengambil langkah jangka pendek pengasingan penumpang terbabit, bagaimanapun keperluan pengasingan jangka masa panjang secara keseluruhannya diperlukan bagi menggalakkan lagi kemasukan penumpang antarabangsa ke Pantai Timur Sabah.

Sementara itu, para penduduk Tawau yang ditemui RTM berharap agar pembesaran Lapangan Terbang Tawau kelak dapat memberi impak positif khususnya dalam ekonomi setempat.

#BESTAWAUfm

Komen