Laman web Utusan Malaysia, Kosmo! kini tidak boleh diakses

Laman web Utusan Malaysia, Kosmo! kini tidak boleh diakses

Tinjauan Astro AWANI mendapati bahawa paparan hadapan kedua-dua laman itu masih memaparkan logo serta tajuk-tajuk berita namun, kesemua pautan berita sudah tidak boleh diakses seperti kebiasaannya.

KUALA LUMPUR: Portal berita Utusan Online dan Kosmo Online kini tidak boleh dilayari oleh rakyat Malaysia.

Tinjauan Astro AWANI mendapati paparan hadapan kedua-dua laman itu masih memaparkan logo serta tajuk-tajuk berita, namun kesemua pautan berita sudah tidak boleh diakses seperti kebiasaannya.

Sekiranya pautan berita di kedua-dua portal itu diklik, ia tidak akan memaparkan berita berkaitan.

Perkembangan terbaru ini susulan keputusan Lembaga Pengarah Utusan Melayu (Malaysia) Berhad pada Rabu, untuk menutup operasi syarikat itu berikutan masalah kewangan.

Keputusan itu disampaikan menerusi satu memo dalaman yang diedarkan kepada staf syarikat berkenaan.

Memo berkenaan menyatakan bahawa Lembaga Pengarah Utusan telah pada 7 Oktober 2019 meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang (Creditors’ Voluntary Liquidation) dan ia turut ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir.

Katanya, pihak pengurusan telah berusaha dengan menjual aset-aset syarikat dan kumpulan untuk menampung modal dan mendapatkan aliran tunai yang mencukupi.

Kosmo! yang dikeluarkan anak syarikat Utusan, turut menamatkan operasi pada hari sama.
-astroawani

Komen