LAGENDA BOLA SEPAK INDONESIA KURNIAWAN DWI YULIANTO KETUA JURULATIH BAHARU TAMBADAU

LAGENDA BOLA SEPAK INDONESIA KURNIAWAN DWI YULIANTO KETUA JURULATIH BAHARU TAMBADAU

KOTA KINABALU: Asisten jurulatih pasukan bola sepak bawah 23 tahun Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto diumumkan hari ini sebagai Ketua Jurulatih skuad Tambadau Liga Super musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) Datuk Peter Anthony membuat pengumuman tersebut dalam sidang akhbar di pejabat Safa di Likas.

Kurniawan (tiga kiri) menerima surat pelantikan daripada Peter hari ini. Gambar SNT/Chris Maskilone
“Kurniawan mengikat kontrak dengan kita selama setahun dan sekiranya mencapai prestasi baik kontrak beliau akan disambung lagi mengikut persetujuan kedua-dua pihak,” kata Peter.

Menurut beliau, turut menyertai pasukan Tambadau pada musim baharu nanti ialah Sofie Imam Faizal juga daripada Indonesia yang akan bertindak sebagai jurulatih kecergasan pasukan.

Ketua jurulatih musim lalu, Jelius Ating serta pembantunya Burhan Ajui turut diumumkan sebagai pembantu kepada Kurniawan.

Lain-lain pegawai dan barisan jurulatih sebelum ini dikekalkan dalam pasukan.

Dalam pada itu, Peter turut mengesahkan kemasukan bekas pemain kebangsaan dan Pahang, Muhammad Zubir Mohd Azmi serta bekas penjaga gol Terengganu FC, Wan Muhammad Azraei Wan Teh.

Mereka mengisi kuota pemain import tempatan pasukan Sabah.

Turut diserapkan ke dalam pasukan Sabah ialah penjaring terbanyak Liga KDM Malaysia yang berakhir baru-baru ini iaitu Shahrizam Sahar, 26 yang bermain untuk pasukan KDM Semporna.

Peter berkata Safa juga dalam proses terakhir untuk mendapatkan dua pemain import yang akan diumumkan kemudian.

Sabah mengekalkan dua pemain import dari musim lalu iaitu Rodoljub Paunovic dan Park Taesu.

Sabah masih lagi mencari pemain yang sesuai untuk mengisi slot import pemain Asia Tenggara.

“Bagaimanapun, pasukan masih mempunyai masa untuk melengkapkan pasukan selewat-lewatnya awal Januari depan dan saya boleh katakan skuad Tambadau ketika ini sudah 70 peratus lengkap,” katanya.

Selain Paunovic dan Park, 18 lagi pemain Sabah musim lalu dikekalkan iaitu Rozaimie Rohim, Dendy Lowa, Evan Wensley Wenceslaus, Jenius Karib, Mafry Balang, Randy Baruh Samson, Rawilson Batuil, Alto Linus, Maxsius Musa, Mohd Azizan Nordin, Ricco Nigel Milus, Sabri Sahar, Ummareng Bacok, Hamran Peter, Mohd Azwan Abd Fattah, Mazlan Yahya, Ariusdius Jais dan Mohd Shukri Baharun.

Turut hadir pada sidang media tadi ialah Naib Presiden SAFA yang juga pengurus pasukan, Henry Saimpon dan Setiausaha Agung SAFA, Andrew -SabahNewsToday

Komen