Kumpulan Shiro ungguli program MLM2018

Kumpulan Shiro ungguli program MLM2018

Shiro berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500,000 berserta trofi sumbangan Astro.

SHAH ALAM – Program Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM2018) yang berlangsung sebentar tadi menamatkan siarannya untuk musim ini dengan menobatkan kumpulan Shiro selaku juara pada pentas final yang berlangsung di Teater Shah Alam, Shah Alam, Selangor sebentar tadi.

Kemenangan Shiro yang dianggotai Shahrol dan Ajak itu melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500,000 berserta trofi sumbangan Astro.

Sementara itu tempat kedua disandang oleh kumpulan Bocey yang membawa pulang hadiah kemenangan sebanyak RM250,000 dan trofi.

Terdahulu, Bocey yang dianggotai Achey, Fad dan Abam pernah menjulang gelaran juara MLM dua tahun berturu-turut pada 2016 dan 2017.

Kumpulan Zero pula memenangi tempat ketiga dengan hadiah wang tunai berjumlah RM150,000 dan trofi, manakala kumpulan Puteh dan Taman hanya berpuas hati di tangga keempat dan kelima sekali gus membawa pulang hadiah wang kemenangan masing-masing berjumlah RM50,000 dan RM15,000.

Pentas final MLM2018 diadili oleh juri profesional yang dibarisi Doughlas Lim, Scha Al-yahya, Tya Ariffin dan Remy Ishak dengan peratusan markah sebanyak 70.

Baki 30 peratus markah pula merupakan undian daripada penonton menerusi aplikasi TikTok. – K! ONLINE

Komen