KUMPULAN GAJAH LIAR ANCAM PENDUDUK KAMPUNG BRUMAS

KUMPULAN GAJAH LIAR ANCAM PENDUDUK KAMPUNG BRUMAS

TAWAU; 2 DISEMBER 2019 (Isnin) – Penduduk Kampung Brumas melahirkan rasa bimbang dan terancam berikutan kehadiran kumpulan gajah liar yang aktif mengganggu kehidupan harian mereka hampir setiap hari sejak November tahun ini.

Kebimbangan penduduk di kawasan berkenaan semakin memuncak apabila kumpulan gajah itu berani menonjolkan diri hingga kedudukannya kini menghampiri rumah penduduk, selain turut agresif merosakkan tanaman yang diusahakan termasuk pokok pisang, kelapa sawit dan sayur-sayuran.

Turut kelihatan tapak kaki gajah selain kelompok najis serta kesan tanaman yang telah dimusnahkan.

Tinjauan Kru RTM ke kampung berkenaan pagi tadi mendapati sekumpulan lima ekor gajah sedang merosakkan tanaman yang terletak di balakang rumah salah seorang penduduk selama 30 minit sebelum beredar ke kawasan lain untuk mencari makanan.

Pada masa sama, rata-rata penduduk yang ditemui melahirkan keresahan dengan ancaman haiwan liar itu kerana kehadiran gajah-gajah tersebut tidak menentu.

Bagi Cabit Buki, 62 tahun yang telah menetap di Brumas sejak 36 tahun ditemui berkata, dia dan keluarganya bimbang keselamatan mereka walaupun kumpulan gajah tersebut hanya tertumpu kepada tanaman tetapi kekerapan kehadiran gajah berkenaan sejak akhir-akhir ini mengganggu keselesaan mereka.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap agar agensi berkenaan sentiasa melakukan pemantauan dari masa ke masa di kampung berkenaan bagi memastikan keselamatan mereka sentiasa terjamin.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang ditemui, Hassan Mohd Yusuf, 45 tahun berkata, kehadiran kumpulan gajah tersebut pada masa ini tidak mengira waktu samada siang atau malam sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk kampung untuk melaksanakan aktiviti lebih-lebih lagi pada waktu malam.

Katanya lagi, dia tidak menyangka gajah itu semakin berani menghampiri kediaman penduduk kampung dan situasi itu amat membimbangkan keselamatan mereka.

Beliau juga berpendapat tindakan agresif haiwan itu selepas habitat asalnya diancam kemusnahan hingga akhirnya menceroboh kediaman penduduk untuk mencari makanan.

Sementara itu, Pegawai Hidupan Liar Tawau, Sailun Aris ketika dihubungi pemberita RTM berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan sekerap mungkin selain terus menjalinkan kerjasama dengan syarikat Sabah Softwoods Berhad untuk mengawal kehadiran kumpulan gajah liar di kampung berkenaan. -BESTAWAUfm

Komen