Kumpul duit 40 tahun

PEMANDU teksi di Tawau, bersyukur apabila usahanya mengumpul duit untuk menunaikan haji sejak kira-kira 40 tahun lalu akhirnya membuahkan hasil selepas menerima surat jemputan ke Tanah Suci, pada tahun ini.

Husein Jailani, 61, berkata, meskipun pendapatannya sebagai pemandu teksi tidak seberapa selain tidak menentu kerana bergantung kepada bilangan penumpang yang menggunakan perkhidmatannya, dia tetap nekad menyimpan walaupun hanya sedikit.

Beliau berkata, niatnya untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu bersama isteri disimpan sejak mula bekerja sebagai pemandu teksi pada 1978.

Namun, disebabkan pendapatan tidak seberapa selain terpaksa membesarkan lapan anak menyebabkan dia lambat mendaftar haji.

“Kerja bawa teksi zaman dulu tidak sama seperti sekarang, pendapatan pun tidak menentu. Bukan senang mahu simpan duit.

“Saya lebih utamakan pendidikan anak-anak dan berkat kerja keras membesarkan mereka, syukur Alhamdulillah kini semuanya sudah berjaya dalam bidang masing-masing,” kata bapa kepada pensyarah di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program meraikan bakal haji dari Tawau bagi tahun ini anjuran Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Tawau dengan kerjasama Tabung Haji Cawangan Tawau, Tawau, hari ini.

Husein berkata, impian untuk menunaikan haji tercapai apabila dia dipilih untuk menemani isterinya, Tjanno Barang, 66, selepas mendaftar haji dengan Lembaga Tabung Haji (TH) pada 2008.

“Anak-anaklah yang aturkan semua kelengkapan persiapan dan persediaan sebelum berangkat ke Tanah Suci pada 26 Julai ini,” katanya.

Komen