Kumbahan tersumbat: Penduduk bantah PBT lepas tangan

Kumbahan tersumbat: Penduduk bantah PBT lepas tangan

Gambar fb.

TAWAU – Lebih 100 penduduk Taman King Fook di sini hari ini mengadakan piket secara aman bagi membantah sikap pihak berkuasa yang tidak serius dalam menangani aduan mereka mengenai sistem kumbahan taman itu yang tersumbat.

Menurut penduduk masalah sistem kumbahan kurang sistematik di taman yang mempunyai 234 unit kediaman itu telah berlarutan sejak tiga tahun lepas tetapi kali ini keadaan lebih teruk apabila najis memenuhi mangkuk tandas rumah dan mengambil masa lama untuk surut.

Seorang penduduk, Ramlan Jamal mendakwa masalah saluran kumbahan tersumbat itu sudah dikemukakan kepada pihak Majlis Perbandaran Tawau sejak Feb 2017 sebelum diarah merujuk kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) ekoran bukan dibawah bidang kuasa MPT.

“Bagaimana pun, apabila dirujuk ke JKR, alasan diberikan adalah tiada peruntukan (penyelenggaraan).

“Kami setiap tahun membayar cukai pintu serta cukai kumbahan seperti yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT), tetapi jawapan diberikan terhadap permasalahan kami mendukacitakan,”katanya.

Beliau yang ditemui pemberita pada piket itu menyatakan rasa kesal dengan sikap lepas tangan pihak berkuasa tempatan

Dalam pada itu, Ramlan berkata pihak Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah diharap dapat mengambil tindakan efisyen sekali gus membantu menyelesaikan masalah kumbahan dihadapi penduduk taman berkenaan.

“Begini caranya masalah kami ditolak, kami tidak mahu bayar caj kumbahan tetapi kami masih bayar.

“Saya minta pihak berkuasa berkenaan kaji balik cukai kumbahan kerana (kami bayar) mereka tidak menyelenggara sistem kumbahan kami ,” katanya.

Menurutnya, jika pun ada JKR datang menyelenggara kumbahan tersebut namun masalah tersumbat itu tetap berulang selepas dua hari diselenggara.

“JKR hanya datang dua ke tiga minggu selepas memo dihantar,” katanya sebelum ini Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Sarifuddin Hata turut berjanji untuk menyelesaikan isu tersebut. – Bernama

Sumber: sinarharian

Komen