KPDNKK nafi kes sayur plastik di Tawau

KPDNKK nafi kes sayur plastik di Tawau

TAWAU: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Tawau menyangkal dakwaan kononnya ada sayur plastik dijual di sebuah pasar raya di sini, yang menjadi viral di Facebook sejak dua hari lalu.

Ketua Pejabat KPDNKK Tawau, Sam Aminuddin, berkata pihaknya mengadakan pemeriksaan sejurus menerima maklumat pada hari yang sama ke atas pasar raya terbabit.

“Ketika pemeriksaan dijalankan kami dapati tiada sayur plastik dijual di premis berkenaan seperti didakwa.

“Bagaimanapun, pihak kami dari semasa ke semasa masih memantau dan menjalankan pemeriksaan berkenaan perkara ini,” katanya ketika dihubungi.

LAMAN Facebook sebuah pasar raya di Tawau menafikan viral dakwaan menjual sayur plastik.

Pada Jumaat lalu, satu rakaman video berdurasi dua minit 45 saat menunjukkan seorang pemilik akaun Facebook ‘Nurul Syamia’ mendakwa sayur yang dibeli dari sebuah pasar raya di sini adalah sayur plastik.

Sementara itu, laman Facebook pasar raya itu kemudian mengeluarkan kenyataan balas menafikan dakwaan itu.

Pemilik pasar raya juga meminta individu yang menyebarkan berita pihaknya menjual sayur plastik untuk tampil memberi penjelasan selain membuat permohonan maaf secara terbuka atau berhadapan tindakan mahkamah.

Disiarkan pada AHAD, 6 OGOS 2017 @ 4:42 PM Beritaharian

Komen